Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Usaha Zizan, pengorbanan Johan

KEGAGALAN kumpulan Jozan untuk bergelar juara sewaktu menyertai rancangan Maharaja Lawak setelah tumpas kepada Sepah, dua tahun lalu tidak bermakna mereka gagal menambat hati peminat komedi di Malaysia.

Buktinya, pada Jumaat lalu kumpulan yang dianggotai oleh Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan dan Mohd. Razizan Abd. Razak telah dinobatkan sebagai juara pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2012.

Dalam saingan yang berlangsung di hadapan kira-kira 5,000 penonton yang membanjiri Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jozan berjaya mengetepikan saingan terdekat mereka iaitu kumpulan Jambu untuk bergelar juara.

Ketika ditemui pada sidang akhbar selepas acara berakhir, Zizan berkata dia sememangnya tidak menjangka sama sekali dengan kemenangan tersebut, meskipun mereka sudah mendominasi tangga teratas sejak dari minggu pertama lagi.

“Pada malam ini kami tidak terlalu yakin untuk menang kerana kumpulan-kumpulan lain yang turut bersaing di pentas akhir ini memang kuat dan mereka turut menampilkan persembahan yang mantap.

“Namun begitu, saya bersyukur apabila usaha gigih kami selama 10 minggu bersaing dalam pertandingan ini begitu berbaloi dan ia bukan sahaja kemenangan buat Jozan, malah ia merupakan kejayaan istimewa buat para peminat yang banyak menyokong kami,” ujarnya.

Ditanya tentang perasaannya atas kemenangan yang diraih, Zizan mengakui sangat sebak dengan kembalinya Johan setelah dua kali terpaksa beraksi secara solo menjelang saingan final.

Ujarnya, dia sangat terharu dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakan gandingannya itu, meskipun berada dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Saya ada bertanya kepada Johan supaya tidak memaksa diri sekiranya tidak mampu, namun dia kelihatan bersemangat untuk turut serta. Tidak dinafikan persiapan yang kami lakukan sekadar ala kadar dan saya anggap kemenangan ini adalah rezeki daripada Allah,” ujarnya.

Sementara itu, Johan yang terpaksa berkerusi roda ketika hadir pada sidang akhbar tersebut menyatakan sikap kental diri Zizan yang berseorangan untuk mempertahankan kedudukan Jozan sehingga layak bersaing ke peringkat akhir sesuatu yang wajar dipuji.

Ujarnya, dengan kejayaan kumpulannya itu mara ke pentas akhir MLM 2012 sememangnya telah menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk turut beraksi bersama-sama dengan Johan.

“Kalau diikutkan doktor memang tidak mengizinkan kerana keadaan saya yang belum benar-benar sembuh sepenuhnya. Namun begitu, saya tetap berkeras dan akhirnya doktor memberikan kebenaran dan dia berpesan supaya saya tidak bergerak terlalu aktif.

“Sebenarnya ini merupakan pengorbanan yang paling besar harus saya lakukan sehingga terpaksa menanggung risiko. Apa yang lebih penting saya lakukan ini semata-mata untuk keluarga, rakan gandingan saya dan para peminat Jozan yang banyak memberikan sokongan,” ujarnya yang sudah menjalani pembedahan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 29 Disember lalu.

Menurut Johan, setengah jam sebelum memulakan persembahan dia terpaksa meletakkan ais di bahagian lututnya itu supaya tidak mendatangkan sebarang kesakitan dan bersyukur kerana masih mampu menampilkan persembahan yang baik.

“Mungkin ramai yang perasan saya memang tidak menggunakan tongkat dan itu saya lakukan kerana tidak mahu mendapat undi simpati daripada orang ramai. Apapun saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami,” ujarnya.

Keputusan akhir MLM 2012 menyaksikan Jozan mengungguli kedudukan teratas dengan markah sebanyak 22.9 peratus dan diikuti Jambu yang muncul selaku naib juara dengan markah sebanyak 21 peratus.

Shiro yang berada di kedudukan ketiga pula memperoleh markah sebanyak 19 peratus. Boboi pula sekadar berpuas hati di tangga keempat dengan 18.8 peratus, manakala Saywho pula meraih markah sebanyak 18.3 peratus untuk berada di kedudukan kelima.

Dengan kemenangan tersebut Jozan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 serta trofi, Jambu (RM250,000), Shiro (RM150,000), Boboi (RM50,000) dan Saywho (RM15,000).

Konsisten

Biarpun gagal menyaingi Jozan dalam persaingan merebut gelaran juara MLM 2012, namun kumpulan Jambu tetap meluahkan kegembiraan dengan kedudukan naib juara yang diraih.
Menurut Taukeh atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, mereka menerima keputusan berkenaan dan mengakui Jozan sememangnya layak untuk dinobatkan sebagai juara.

“Secara keseluruhannya kami sangat berpuas hati dan layak beraksi di pentas akhir merupakan satu kejayaan yang cukup istimewa. Lagipun persaingan lain-lain kumpulan juga sangat sengit dan ia agak merisaukan kami sedikit.

“Cuma kelebihan yang ada kepada kumpulan Jambu ini apabila kami kekal dengan persembahan yang konsisten dari minggu pertama sehingga terakhir, berbanding ketika kami bersaing di pertandingan Maharaja Lawak dua tahun lalu,” ujarnya.

Mengenai hadiah kemenangan yang diterima pula, seorang lagi ahli kumpulan Jambu iaitu Yusry Edoo atau lebih sinonim dengan panggilan Yus berkata, dia dan Taukeh sudah sepakat yang sedikit wang berkenaan akan digunakan untuk mengadakan majlis bersama para peminat.
Ujarnya, majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan kepada mereka yang terlalu banyak memberikan sokongan sehingga mereka berada pada kedudukan sekarang ini.

“Insya-Allah, saya juga akan menggunakan wang yang dimenangi ini untuk belanja perkahwinan saya. Namun begitu, saya tidak pasti bila akan mendirikan rumah tangga, sama ada tahun ini atau tahun hadapan,” ujarnya, Yus yang mengakui sudah mempunyai kekasih hati.
Tersingkir awal

BARISAN finalis Maharaja Lawak 2012 sudah memberikan persembahan berdaya saing hebat pada malam final yang berlangsung di Johor Bahru, kelmarin.



Sementara itu, kumpulan Shiro yang dianggotai Mohamad Hanaffi Razak (Ajak) dan Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) yang meraih kedudukan di tempat ketiga pula menganggap kejayaan mereka merupakan sesuatu yang di luar jangkaan.

Menurut Ajak, mereka menjangkakan menjadi kumpulan pertama yang akan tersingkir iaitu pada minggu keempat, namun rezeki ternyata berpihak kepada mereka apabila berjaya layak ke final.
“Meskipun Shiro pernah menjuarai pertandingan Raja Lawak 6 pada tahun lalu, namun kami anggap masih lagi baharu dalam industri hiburan tempatan dan perlu bersaing pula dengan pelawak yang lebih berpengalaman.

“Jadi, dapat bersaing sehingga ke pentas akhir pastinya sudah kami anggap sebagai satu kemenangan. Lebih istimewa lagi saingan akhir telah diadakan di Johor yang juga merupakan negeri kelahiran kami,” ujarnya.

Mengenai perancangan mereka selepas berakhirnya MLM 2012, Ajak berharap mereka akan mendapat lebih banyak peluang berlakon dalam usaha untuk mengembangkan lagi kerjaya seni pada masa akan datang. [KM]

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , , ,