Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Sultan Ahmad Shah kecewa

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaya pada siri perlawanan persahabatan.

Menurut baginda, prestasi tersebut agak membimbangkan menjelang Piala Suzuki AFF 2012 yang membuka tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, baginda menyatakan kekecewaan itu ketika mengadakan pertemuan selama tiga jam dengan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

“Semalam (kelmarin), Sultan Ahmad Shah berjumpa dengan skuad kebangsaan dan mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama pemain serta turut meluahkan kekecewaan terhadap prestasi pemain yang ditunjukkan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Bagaimanapun, baginda masih yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan di bawah ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi Piala Suzuki AFF 2012 di Angkasapuri, Kuala Lumpur semalam.

Pada aksi persahabatan sebelum ini, skuad Harimau Malaya tumpas 0-1 kepada Vietnam, dikalahkan Thailand 2-0 dan masing-masing seri 1-1 ketika bertemu Hong Kong dan Bangladesh.

Hamidin percaya kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan skuad Harimau Malaya menjalani latihan dan memberikan kata-kata semangat di padang Wisma FAM kelmarin juga akan mendorong pemain menampilkan aksi terbaik pada kejohanan itu kelak.

Beliau juga berharap penyokong dan peminat bola sepak tempatan akan terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya pada kejohanan kali ini.

“Sudah tentu untuk meraih kejayaan, pasukan memerlukan sokongan daripada penyokong. Saya berharap sokongan itu diberikan sehingga ke perlawanan terakhir.

“Saya yakin dengan kemampuan pemain, lebih-lebih lagi dengan peluang bermain di tempat sendiri, ditambah dengan sokongan rakyat Malaysia, tidak mustahil kita mampu merangkul kejuaraan,” katanya.

Malaysia yang merupakan juara bertahan akan membuka tirai perlawanan Kumpulan B menentang Singapura, Ahad ini diikuti Laos (28 November) sebelum menamatkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember. KM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , , ,