Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Rajagobal kecewakan dunia bola Malaysia


“Saya tak perlu berasa panik lagi. Itali pun kalah sebelum ke Euro,” ulasan rajagobal pada sidang media selepas kekalahan semalam.

Status Harimau Malaya selaku juara Asia Tenggara tercalar apabila terkulai di laman sendiri kepada Vietnam 0-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam semalam.

Kekalahan itu memberi tamparan hebat buat Malaysia yang menyaksikan rekod tanpa kalah lima perlawanan persahabatan berstatus A tahun ini lebur ketika misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF berbaki lebih dua bulan lagi.

Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal memilih menggandingkan Mohd Zaquan Adha Abd Razak bersama Norshahrul Idlan Talaha sebelum memasukkan Mohd Safee Sali pada babak kedua.

Malah beliau memilih untuk menurunkan Christie Jayaselan bagi mengambil tempat pemain lincah S Kunanlan di bahagian sayap kiri.

Seperti keadaan padang di Stadium Shah Alam yang lembab akibat hujan yang turun sebelum perlawanan bermula, begitu jugalah aksi aksi Harimau Malaya pada babak pertama.

Sebaliknya, Vietnam, juara Piala Suzuki AFF 2008 kini dibimbing jurulatih tempatan, Phan Thanh Hung lebih menguasai permainan dengan mengatur beberapa percubaan bahaya.

Satu-satunya peluang tuan rumah hadir di minit ke-23 apabila sepakan lambung Norshahrul dalam kotak penalti melepasi palang gol.

Bagaimanapun lebih 15,000 penyokong Malaysia tersentak apabila ‘anak emas’ Vietnam membuktikan bisanya dengan menanduk masuk gol pertama pada minit ke-33 untuk menewaskan Mohd Farizal Marlias.

Wira Vietnam ketika menjuarai Piala AFF empat tahun lalu itu sekali lagi berpeluang menambah jaringan seminit kemudian apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid namun bola lambungannya dikeluarkan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak ketika Farizal sudah tertewas.

Belumpun sempat anak buah Rajagobal mengatur gerakan pada babak kedua, gawang negara sekali lagi dibolosi menerusi tolakan Phan Thanh Hung di minit ke-48 untuk menghukum kelemahan benteng negara.

Menyedari kedudukan semakin sukar, Malaysia membuat tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Safee, Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar menggantikan Zaquan, Bunyamin Umar dan Christie.

Namun tiada apa yang mampu dilakukan pemain negara apabila pasukan pelawat ampuh bertahan bagi mengekalkan kelebihan jaringan dua gol.

Malaysia dan Vietnam akan membuat perhitungan sekali lagi di Hanoi pada 3 November ini sebagai persiapan terakhir sebelum Piala AFF.

Sementara itu jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menganggap kekalahan 0-2 di tangan Vietnam dalam aksi perlawanan persahabatan malam tadi sebagai sesuatu yang “bagus” buat anak buahnya.

Jelasnya, dengan kekalahan itu,  ia memberi peluang kepada dirinya untuk memperbaiki setiap  kelemahan yang dihadapi oleh anak buahnya.

“Bagi saya, kekalahan ini satu perkara yang bagus.

“Ini kerana dengan kekalahan itu, ia memberi pengajaran kepada pemain untuk bangkit dan mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan seterusnya,” kata Rajagobal ketika sidang media  di Stadium Shah Alam.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai nasib Malaysia untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini selepas kalah kepada Vietnam, Rajagobal menegaskan, beliau tidak mahu terlalu awal  menekan butang panik.

Sebaliknya, beliau menganggap peluang Malaysia masih terbuka berikutan mempunyai lebih  banyak masa untuk menghadapi saingan tersebut.

“Kenapa saya perlu tekan butang panik. Bagi saya, kalah atau menang adalah adat perlawanan.

“Lagipun, apa yang penting kita perlu sentiasa yakin yang kita mampu mempertahankan kejuaraan itu.

“Saya kenal pemain saya dan saya tahu mereka mampu bangkit nanti,” kata Rajagobal yang menganggap kekalahan semalam memberi peluang kepadanya untuk mengatur strategik  menjelang Piala Suzuki AFF.

Mengulas lanjut prestasi semalan, Rajagobal mengakui pemainnya tidak mempamerkan aksi bertenaga.

“Rentak permainan pemain  agak perlahan berbanding Vietnam yang mempamerkan aksi bertenaga.

“Malah, boleh dikatakan pemain agak sedikit tertekan untuk menghasilkan sebarang gol.

“Tapi, kekalahan ini perlu diterima. Dan jadikan ia satu pengajaran untuk terus bekerja keras mencipta kemenangan,” kata Rajagobal yang sentiasa yakin dengan kemampuan pemainnya.

Hampir 80 pemain telah diuji oleh Datuk K. Rajagopal bagi persiapan Piala AFF November ini, kekalahan ke atas Vietnam amat membimbangkan.

Adakah kita mampu mempertahankan piala yang kita menangi 2 tahun lepas?

Senarai barisan pemain Harimau Malaya:

Mohd Farizal Marlias (GK), Mohd Faisal Muhammad, Mohd Bunyamin Umar (Baddrol bakthiar) , Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Tahala, Mohamad Azmi Muslim, Wan Zack Haikal Wan Nor (Azimudin Akil), Gary Steven Robbat (Mahali Jasuli), Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (Safee Sali), Christie Jayaselan Devasagayam (S Kuhnalan)

Senarai barisan pemain utama Vietnam:

Nguyen Minh Duc, Tran Dinh Dong, Le Cong vinh, Nguyen Trong Hoang, Phan Thanh Hung, Le Tan Tai, Huyhn Quoc Anh, Bui Tan Truong (GK), Nguyem Gia Tu, Dao Van Phong, Pham Nguyen Sa

Highlight

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,