Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Semangat Azizul Membara

SELEPAS kegagalan Lee Chong Wei merealisasikan impian emas, tumpuan kini terarah kepada Azizulhasni Awang yang menganggap dia tidak tertekan dengan sandaran menggunung itu dan sudah sedia untuk turun bertarung dalam acara keirin, hari ini.

“Jika saya berasa tertekan, saya tidak akan berada di sini. Dulu lagi saya sudah tarik diri. Kini mungkin tinggal saya dan Pandelela (Rinong dalam dalam terjun), tapi saya menganggap sandaran itu sebagai misi negara dan bukan peribadi. “Jadi, saya perlu memberikan lebih daripada yang terbaik kerana negara lebih penting daripada diri saya sendiri.

Ramai yang menaruh harapan dan jika menang, mungkin arena basikal negara akan berubah sepenuhnya,” katanya yang mendapat suntikan semangat berikutan kehadiran ibunya, Selamiah Yong untuk memberikan sokongan.

Chong Wei yang menjadi sandaran untuk menghasilkan pingat emas pertama negara sejak Melbourne 1956, tewas kepada Lin Dan di final badminton perseorangan lelaki, kelmarin, sekali gus menjadikan Azizulhasni sebagai calon terbaik untuk mengubat kekecewaan itu .

Azizulhasni akan memulakan acaranya di Olympic Velodrome pada jam 4 petang ini waktu Malaysia dan jika mara ke final, dia dijangka beraksi pada jam 1 pagi esok. Sambil menyifatkan dirinya sudah bersedia 100 peratus, pelumba yang dikenali sebagai Pocket Rocketman itu berkata, acara pecut yang menyaksikannya menduduki tempat ke-8 keseluruhan kelmarin, menyediakan peluang terbaik untuknya memanaskan badan sebelum acara keirin bermula.

Bagaimanapun, Azizulhasni mengakui yang dia tersilap congakan ketika menentang pelumba Russia, Denis Dmitriev di pusingan kedua sehingga menyaksikannya terpaksa beraksi dalam pusingan repechage.

Biarpun memenangi pusingan itu, Azizulhasni terpaksa bertemu dengan pelumba pilihan yang juga peserta tuan rumah, Jason Kenny di suku akhir yang menyaksikannya tewas dalam kedua-dua saringan.

“Saya mungkin tewas, tapi catatan saya semakin baik. Saya sendiri tidak percaya saya boleh mengayuh laju dengan mencatat masa hampir bawah 10 saat ketika bersaing dengan Kenny. Bagi saya, catatan itu bagus sebagai persediaan untuk keirin,” katanya.

Menurutnya, jurulatih John Beasley turut memberitahunya supaya menyimpan tenaga untuk keirin dan tidak perlu berhabis-habisan dalam perlumbaan penentuan tempat ke-5 hingga 8 itu.

“John memberitahu saya supaya tidak terlalu mencuba kerana saya sudah berada dalam kelompok lapan pelumba terbaik dunia, jadi beliau meminta saya supaya memberi tumpuan terhadap perlumbaan esok,” katanya.

Menurutnya, dia dan Beasley sudah menonton video membabitkan pencabar lain dan sudah merancang setiap perlumbaan.

“Kami sebenarnya sudah bersedia dari awal, cuma perancangan itu perlu diperbaiki lagi ketika berada di sini. Lagipun velodrom ini agak berbeza daripada yang lain. Ia berbentuk bulat berbanding biasa yang lonjong, jadi memerlukan lebih tenaga untuk menamatkan perlumbaan,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,