Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pandelela kini jadi prospek pingat

Tidak dinafikan seperti Lee Chong Wei dan Azizulhasni Awang – Pandelela Rinong Anak Pamg juga berada dalam senarai prospek mengutip pingat untuk negara pada Sukan Olimpik London.

Untuk itu, dia harus memberi tumpuan penuh untuk mencipta sesuatu kejutan dalam acara kegemarannya 10 meter platform individu wanita di Pusat Akuatik, awal pagi esok. Seorang lagi wakil negara dalam acara ini adalah Traisy Vivien Tukiet.

Detik kecewa pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 itu gagal mencari kedudukan terpuji dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama sebelum ini masih mengusik mindanya tapi dia percaya awal pagi esok dia mampu mencari penawar duka.

“Saya harus fokus dan cuba cari kedudukan baik lebih awal kerana ia penting. Lagi pun ini acara individu dan banyak bergantung kepada usaha saya sendiri.
“Jurulatih (Yang Zhuliang) menegur saya akan kesilapan lalu dan saya akan cuba melakukan sesuatu yang terbaik nanti,” katanya.

Hajat naik ke podium bukan sesuatu yang mustahil kerana dia adalah pemenang pingat perak dalam kejohanan Siri Dunia di Moscow pada 2011 dan harus melihat kepada catatan ini sebagai satu inspirasi di London.
Sementara itu, jurulatihnya berkata masalah dengan penerjun negara adalah penyudahan kemas sebelum mencecah air dan dia tidak menolak hakikat Pandelela juga dalam senarai itu seperti dipamerkan dalam dua acara sebelum ini.

Zhuliang beranggapan faktor ini menjadi garis pemisah dalam menentukan kedudukan terbaik atlit negara atau pun ke arah buruan pingat.

“Jurang ini ketara antara atlit kita dan penerjun dunia lain dan Pandelela juga harus lebih kemas nanti,” katanya.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,