Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pandelela hidupkan peluang Malaysia raih pingat

LONDON: Ratu terjun negara Pandelela Rinong menghidupkan harapan Malaysia untuk terus memburu pingat kedua dari Sukan Olimpik 2012 selepas menduduki tangga kedua pada pusingan awal acara 10m platform individu wanita hari ini.

Pandelela, yang beraksi dalam Olimpik keduanya selepas Beijing 2008, mengumpul 349.35 mata untuk berada di belakang pendahulu, Chen Ruolin dari China yang mengutip 392.35 mata.

Penerjun kelahiran Sarawak itu sepatutnya menduduki tangga pertama tetapi melakukan kesilapan pada terjunan ketiga dengan mendapat 52.80 mata tetapi menutup kutipan rendah itu dengan mengutip 81.60 mata pada terjunan keempat.

Seorang lagi penerjun negara Traisy Vivien Tukiet tidak bernasib baik dengan menduduki tangga ke-22 daripada 26 penerjun dan gagal ke separuh akhir.

Hanya 18 penerjun terbaik mara ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung esok.

Namun berita yang memeranjatkan ialah hasrat Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia, Datuk Naim Mohamad untuk meletak jawatannya berikutan kegagalan skuad berbasikal negara meraih pingat dari temasya ini.

Naim, yang juga pengurus pasukan berbasikal ke temasya ini, menyatakan beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan tersebut dan mahu memberi peluang kepada muka baharu untuk meneruskan misi mencari emas pertama Malaysia menerusi sukan berbasikal dari sukan Olimpik.
Esok, hari ke-13 temasya yang berlangsung secara rasmi pada 24 Julai dan akan menutup tirainya pada Ahad ini, dan hanya tiga atlet yang masih meneruskan cabaran Malaysia di temasya sukan terbesar dunia ini.

Pandelela akan beraksi dalam acara separuh akhir 10m platform wanita sementara perenang jarak jauh, Heidi Gan dalam acara renang marathon 10 kilometer.

Sementara Bryan Nickson Lomas akan memulakan cabaran dalam acara 10m platform lelaki pada Jumaat. – BERNAMA

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,