Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Polis Perancis buru ‘Orang Gila Kanada’

PARIS – Polis Perancis semalam menyatakan pihaknya yakin aktor porno Kanada yang disyaki merakam aksi dia mengerat teman lelakinya dan menghantar anggota badan mangsa melalui perkhidmatan mel, datang ke bandar raya ini baru-baru ini.

“Kami pasti Luka Rocco Magnotta masih atau pernah berada di sekitar Paris sejak sekurang-kurangnya Jumaat lalu,” kata sumber polis yang memetik kenyataan beberapa saksi dan maklumat lain.

Polis Perancis mengadakan operasi menjejaki Magnotta, 29, di beberapa lokasi terpilih selepas pihak berkuasa Kanada menyatakan, lelaki tersebut telah menaiki sebuah pesawat menuju ke Perancis dari Montreal pada 26 Mei lalu.

Menurut sumber polis Perancis, setakat ini mereka telah menggeledah sebuah bar dan dua hotel di barat daya kota metropolitan ini.

Seorang saksi memberitahu agensi berita AFP bahawa dia melihat beberapa anggota polis memasuki bar Le Petit Batignolles di sini untuk meninjau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Katanya, polis kemudian beredar dengan membawa beberapa botol minuman ringan kosong.

Suspek digelar ‘Orang Gila Kanada’ oleh media selepas rakaman video menunjukkan Magnotta menikam seorang lelaki dengan menggunakan pencungkil ais dan mengerat lelaki tersebut tersebar di internet.

Pada khamis lalu, Interpol mengeluarkan notis orang buruan untuk Magnotta kepada 190 negara anggota polis antarabangsa selepas klip video pembunuhan kejam itu disiarkan di internet.

Jenayah tersebut terbongkar apabila polis Kanada pada Selasa lalu menyatakan bahawa satu bungkusan berisi kaki manusia telah dihantar ke ibu pejabat parti pemerintah Kanada, Parti Konservatif. – AFP

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments