Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Saya sedia beraksi 90 minit – Akhyar

KUALA LUMPUR – Penyerang muda negara, Akhyar Rashid sudah bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar bersama skuad Harimau Malaya dengan memastikan posisi sayap kiri kekal miliknya selepas ini.

Akhyar, 20, yang meledak satu gol ketika membantu pasukan negara membenam Timor Leste 5-1 dalam playoff kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa lalu berjaya menampilkan aksi mantap sepanjang 90 minit permainan dengan kelibatnya sukar dikekang pertahanan lawan.



Kemasukannya sebagai pemain gantian juga tidak mengecewakan apabila turut mencetak satu gol ketika meraih kemenangan 7-1 ke atas Timor Leste, Jumaat lalu sekali gus membolehkan Malaysia meraih agregat besar 12-2 untuk mara ke pusingan kedua.

“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan semua kerana memberi peluang (mengisi kesebelasan utama) dalam perlawanan kelmarin.

“Atas kepercayaan itu, ­Alhamdulillah saya dapat beri aksi terbaik. Saya sangat terharu sebab semua bagi komitmen 100 peratus bagi memastikan kita ke pusingan berikutnya.





“Bagi saya kalau jurulatih sedia nak letak saya (kesebelasan utama), saya bersedia untuk bermain,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Sejak menyertai pasukan se­nior, Akhyar yang lebih mesra disapa Mat Yat sering dianggap sebagai ‘supersub’ kerana ke­rap diturunkan sebagai gantian bagi menghidupkan bahagian serangan.

Bagaimanapun, penge­ndali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi kepercayaan kepadanya dalam perlawanan timbal balik menentang Timor Leste untuk mengisi kesebelasan utama menggantikan Syazwan Zainon yang direhatkan.

Adik kepada bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu jelas tidak mensia-siakan ­peluang keemasan itu apabila mempamer aksi terbaik dan turut meledak gol bagi membalas kepercayaan Cheng Hoe. – UTUSAN



, ,