Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Peluang Cheng Hoe uji pengganti Sumareh

Peluang Cheng Hoe uji pengganti Sumareh Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tidak menunjukkan tanda keresahan biarpun khidmat pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, tidak dapat digunakan untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil.




Cheng Hoe hilang khidmat Sumareh ekoran digantung empat perlawanan seperti yang diputuskan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Ia susulan kesalahan pemain Pahang itu yang bertindak kurang sopan terhadap pegawai perlawanan dalam aksi final kedua Piala AFF di Hanoi, Vietnam, tahun lalu.

Mujur, penggantungan itu hanya dikuatkuasakan untuk aksi persahabatan antarabangsa kelas A dan bukannya perlawanan dalam pertandingan sebenar.

Ketiadaan Sumareh tampak memberi kesan tetapi Cheng Hoe kekal optimis dengan kemampuan pemain lain untuk membawa cabaran negara.

“Sumareh bermain baik dalam Piala AFF 2018 dan dengan ketiadaannya, kami masih mempunyai beberapa pilihan lagi untuk menampung posisinya.

“Ia juga peluang buat saya untuk menguji pemain lain,” kata pengendali skuad kebangsaan itu.





Berdasarkan pendekatan taktikal jurulatih berusia 51 tahun itu, bintang muda negara, Safawi Rasid, dijangka akan menggantikan Sumareh di posisi sayap kanan.

Apa pun, ranjau yang menanti skuad negara di Bukit Jalil dijangka getir berikutan Nepal hadir dengan reputasi besar.

Skuad bimbingan David Kalin itu bukan sahaja mendahului Malaysia daripada segi ranking dunia, malah mereka juga layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 berbanding skuad negara yang perlu mengharungi aksi play-off.

“Saya agak terkejut dengan kedudukan ranking Malaysia tetapi saya percaya mereka sebuah pasukan yang mantap.

“Ada beberapa pemain ternama yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia selain liga itu sendiri sengit,” kata Kalin.



,