Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Lelaki misteri jerut dan gantung kucing sampai mati

SEORANG lelaki bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila membunuh kucing dengan cara menjerut dan menggantung haiwan itu di tangga blok pangsapuri Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

Pemilik kucing yang hanya mahu dikenali sebagai Asrul, 40-an, berkata, kejadian itu hanya disedari selepas dimaklumkan jirannya yang menemui bangkai haiwan berkenaan.




Katanya, dia menemui bangkai kucing di depan pagar rumah dalam keadaan mulut berbuih jam 2.30 petang.

“Pada mulanya, saya ingat ia mati disebabkan racun sebelum ditanam di belakang rumah. Namun, jiran datang ke rumah kira-kira jam 10 malam memaklumkan dia yang meletakkan bangkai kucing di depan rumah saya selepas menemuinya dalam keadaan tergantung dengan tali di tangga depan rumahnya.

“Jiran memaklumkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memegang kucing sebelum mengikat leher haiwan itu dengan tali dan menggantungnya di tangga.

“Saya lihat rakaman itu. Percubaan kali pertama dia mengikat leher kucing gagal sebelum dia mengejarnya dan mengikat kali kedua sehingga mati dijerut,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Asrul berkata, kejadian yang berlaku itu adalah kali pertama terjadi di kawasan pangsapuri berkenaan.

“Jika dilihat pada rakaman CCTV itu, lelaki terbabit tidak kelihatan seperti penghuni di kawasan ini. Ada kemungkinan dia orang luar yang saja membuat onar di pangsapuri ini.





“Saya sedih dengan apa yang berlaku kerana tindakan lelaki itu amat kejam dan tidak berperikemanusiaan hingga menyebabkan kucing yang sudah dibela sejak tiga tahun lalu mati dalam keadaan menderita,” katanya.

Dia berkata, laporan berhubung kejadian itu sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira jam 2 pagi tadi.

“Saya serahkan kepada pihak polis. Besar harapan saya untuk melihat pelakunya ditahan dan dikenakan hukuman setimpal supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak memperlakukan haiwan sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Muhammad Najib Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya. – HMetro