Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

[VIDEO] Dipukul 10 Lelaki, ibu menggigil lihat video anak dibelasah

HASRAT seorang anak untuk menyambut ulang tahun kelahiran bapanya bertukar menjadi tragedi apabila dia dipukul sekumpulan penunggang motosikal sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada Selasa lalu.

Video kejadian melibatkan Khalid Nur Ismail, 22, yang dipukul 10 lelaki di sebuah stesen minyak di Gelang Patah, Johor, tular di laman Twitter dan sehingga kini menerima lebih 100,000 tontonan.




Ibu mangsa, Sarimah Yamahat mengakui terkilan dengan kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu.

“Hari tu kami nak sambut hari lahir bapa dia yang ke-48. Dah sediakan makanan semua tapi pukul 6.45 petang dia tak pulang lagi.

“Saya tak sedap hati tapi fikir mungkin kesesakan lalu lintas.  Selepas itu barulah kami dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Tak sempat nak sambut birthday. Ini sambutan hari jadi paling bersejarah dalam keluarga kami. Memang sedih sangat,” ujar Sarimah sewaktu dihubungi pada Sabtu.

Menurut wanita itu lagi, mereka sekeluarga yang menetap di Bandar Baru Uda bergegas keluar mencari Khalid Nur selepas dimaklumkan mengenai hal itu.

Pada hari kejadian, mangsa dibawa ke Balai Polis Gelang Patah sebelum membuat laporan di Balai Polis Seri Iskandar pada malamnya.

Tambah Sarimah, dia juga kesal dengan kumpulan lelaki berkenaan yang sanggup memperlakukan sedemikian kepada anaknya itu.

“Menggigil tengok video. Walaupun tak puas hati, janganlah belasah sampai berdarah. Dia pergi cari rezeki, sampai hati buat macam tu.

“Khalid Nur tu jenis pendiam, tak ambil tahu hal orang. Bukan nak puji anak sendiri tapi dia memang jenis tak banyak cakap. Kesian dia,” ujarnya dalam nada sebak.

Menerusi kejadian itu, Khalid Nur dihayun dengan topi keledar sehingga menerima empat jahitan di kepala dan mengalami kecederaan di bahagian bibir.

Khalid Nur dan seorang lagi rakannya ditahan sekumpulan pemandu motosikal yang didakwa tidak berpuas hati selepas berlakunya sedikit salah faham di pusat pemeriksaan Kastam Singapura, sehari sebelum itu.

Khalid Nur menerima empat jahitan di bahagian kepala.





Pada Isnin, Khalid Nur dan rakannya secara tidak sengaja terlanggar sebuah motosikal ketika melalui bonggol sehingga menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati seorang individu.

Khalid Nur dan rakannya turut dihimpit namun tidak mengendahkan mereka sebelum dia ditahan di sebuah stesen minyak, pada Selasa.

Dalam pada itu, Sarimah berkata, dia juga terkilan apabila tiada sesiapa yang membantu meleraikan kejadian itu.

“Tak ada orang tolong leraikan, orang tengok sahaja macam tak ada apa-apa.

“Darah penuh satu jaket, dia pun sampai terduduk. Kawan dia seorang lagi tu cedera tak banyak sebab ada motor lain datang tegur lepas tu,” katanya lagi.

Khalid Nur merupakan pekerja kilang di Singapura yang berulang-alik setiap hari dari Bandar Baru Uda.<

Dia kini masih lagi bercuti dan keadaannya semakin pulih selepas menerima rawatan di sebuah klinik di Gelang Patah.

Sehingga kini, tiga individu sudah ditahan untuk membantu siasatan bagi membantu siasatan. – mStar