Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Polis buru lelaki Nigeria bantu kes bunuh jururawat

Image result for Siti KharinaPolis sedang memburu seorang suspek lelaki warga Nigeria bagi membantu siasatan kes bunuh seorang jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40.

Siti Kharina dipercayai dibunuh dan ditemui di sebuah rumah sewa di Cyberjaya, petang semalam.

Sumber berkata, mayat ditemui pemilik rumah berkenaan selepas dia datang ke kediaman terbabit untuk melakukan pemeriksaan apabila penyewanya gagal dihubungi sejak seminggu lalu.



“Mayat itu ditemui dalam keadaan reput dipercayai sudah meninggal dunia sejak seminggu lalu selain terdapat kesan kelar pada leher mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, suspek dikenali sebagai Aliwajuwom Gilbertalowonle yang berusia 30-an, dipercayai saksi penting dalam kes pembunuhan itu.

“Suspek yang diburu ialah rakan kepada seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria yang ditahan polis awal pagi tadi.

“Ketiga-tiga suspek ini sering berhubung antara satu sama lain. Mereka ialah rakan perniagaan serta memiliki sebuah kedai menjual telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Siti Kharina ialah rakan perniagaan kepada semua suspek, Noor Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Polis sedang menjalankan siasatan dari semua aspek. Kita sedang siasat macam mana hubungan mangsa dengan suspek dan bagaimana mereka boleh mengenali antara satu sama lain.

“Berdasarkan siasatan awal polis juga mendapati mangsa mempunyai dua rumah sewa.

“Malah, keluarga dan rakan mangsa juga tidak tahu bahawa mangsa turut menyewa rumah di Kondominium Third Avenue,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, polis menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana semua barang berharga tidak hilang.





“Polis juga masih menunggu laporan bedah siasat termasuk kemungkinan mangsa dirogol,” katanya.

Awal pagi tadi, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan berumur 38 tahun berumur dan seorang wanita Nigeria berumur 35 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.

Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada jam 4 petang, Rabu minggu lalu.

Mangsa dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih dengan nombor pendaftaran BEY 1361.

Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya untuk bertanya mengenai keadaannya

Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun.

Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.