Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Mauricio anggap pertembungan JDT, Pahang umpama ‘El Classico’

Pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mauricio Dos Santos Nascimento menganggap pertembungan di antara pasukannya dan Pahang pada malam ini seumpama perlawanan ‘El Classico’ di antara dua gergasi La Liga iaitu Barcelona dan Real Madrid di Sepanyol.

Bagi pemain pertahanan kelahiran Brazil, perlawanan ini penting buat pasukannya untuk mencatatkan kemenangan agar JDT dapat menjarakkan lagi jurang dengan skuad Tok Gajah yang kini menghuni di tangga kedua Liga Super dengan 25 mata. Kegagalan berbuat demikian membolehkan Pahang mengejar mereka selain daripada mencalarkan rekod tanpa kalah JDT pada musim ini.




Tambah pertahanan kental berusia 30 tahun ini, beliau juga menanam tekad untuk tidak mengulangi insiden layangan kad merah seperti beraksi di Stadium Darul Makmur, penghujung April lalu. Jelas layangan kad tersebut memberi kesukaran kepada rakan sepasukannya yang terpaksa menghadapi anak buah Dollah Salleh dengan 10 orang pemain.

“Saya sudah melupakan detik hitam itu dan memberi sepenuh tumpuan bagi persiapan menentang Pahang dan saya anggap ia perlawanan `El Classico’ tatkala JDT mahu menjarakkan kedudukan mata untuk kekal di tangga teratas, manakala Pahang pasti mahu mencalar rekod tanpa kalah kami.

“Apa yang berlaku sehingga saya dilayangkan kad merah sememangnya mimpi ngeri buat saya. Tidak dapat dinafikan betapa kecewa ketika melangkah keluar ke bilik persalinan selepas tidak dapat membantu rakan sepasukan yang beraksi tatkala mereka bermain dengan 10 pemain sahaja.” kata Mauricio dalam BH Online.

Selain itu, kemenangan sulung JDT ke atas Kashima Antlers dalam saingan Liga Juara-Juara AFC rabu minggu lalu turut memberikan suntikan motivasi tambahan untuk terus beraksi cemerlang. Malah, aksi yang mengambil tempatnya di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin memberikan satu lagi kelebihan buat pasukan yang dibimbing oleh Luciano Figueroa ini.





“Kemenangan ke atas Kashima Antlers dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini menyuntik lagi semangat juang untuk terus memperaga aksi terbaik tatkala kami akan beraksi di laman sendiri dan keinginan memburu kemenangan begitu menebal,” katanya lagi.

Mauricio ditandantangani oleh juara lima kali Liga Super Malaysia, JDT pada penghujung tahun lalu. Kemasukan beliau yang pernah berkelana di beberapa kelab ternama eropah ke dalam skuad Harimau Selatan merupakan komitmen yang ditunjukkan oleh JDT untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super Malaysia dan memberikan cabaran dalam Liga Juara-Juara AFC 2019.



 

,