Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Irfan Bakti letak jawatan

Related imageKUALA TERENGGANU: Irfan Bakti Abu Salim meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih TFC berkuatkuasa serta merta, sebagai tanggungjawab atas kemerosotan prestasi Terengganu FC (TFC), terutama selepas kekalahan memalukan pasukan itu di tangan Petaling Jaya City FC (PJ City), kelmarin.

Peletakan jawatan Irfan Bakti itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil dalam satu kenyataan malam tadi.



Dalam kenyataan itu, Tengku Farouk berkata, pihak pengurusan memberi mandat kepada Penolong Ketua Jurulatih, Mohamad Nafuzi Zain untuk menggalas tugas Ketua Jurulatih buat sementara waktu.

Beliau berkata, Mohamad Nafuzi akan mengisi jawatan berkenaan sehingga PBSNT menemui calon jurulatih sesuai bagi meneruskan cabaran sembilan perlawanan Liga Super dan saingan Piala Malaysia.

“TFC diberi satu tamparan hebat dengan satu kekalahan teruk pada perlawanan menentang PJ City dalam suasana TFC sudah memiliki kelebihan tiga gol di separuh masa pertama dan akhirnya menerima kekalahan 3-5, PBSNT mengadakan satu mesyuarat khas berkenaan prestasi TFC bagi menilai kelemahan yang berlaku.

“Mengakui keadaan semasa pasukan TFC yang tidak menentu, Irfan Bakti dalam mesyuarat khas hari ini memanjangkan permohonan peletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih TFC serta merta sebagai mengambil tanggungjawab di atas kemerosotan prestasi pasukan.

“Pihak pengurusan pasukan mengambil kira semua aspek dan bersetuju serta menghormati keputusan nekad dibuat Irfan Bakti di atas prestasi buruk pasukan.





“Hasrat peletakan jawatan itu diluahkan dengan kerelaan hati beliau dan hal ini akan dimuktamadkan melalui prosedur yang betul,” katanya dalam kenyataan itu.

Tengku Farouk Husin berkata, jasa Irfan Bakti akan sentiasa dikenang kerana sudah menyumbang bakti kepada bola sepak Terengganu.

“Pada 2011, beliau membawa Terengganu menjuarai Piala FA, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kalinya dalam sejarah.

“Kehadiran buat kali kedua pada 2017 merangkul Naib Juara Liga Premier membawa pasukan ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia 2018. Seluruh keluarga besar bola sepak Terengganu tidak harus melupakannya,” katanya.

Dalam pada itu, PBSNT turut menafikan tohmahan yang menyatakan aksi tidak menentu dan kekalahan memalukan TFC berpunca daripada kegagalan pembayaran gaji kepada pemain.

“Sebagaimana dimaklumkan, PBSNT menaungi TFC 1, TFC 2, TFC 3, TFC 4 dan TFC 5. Pembayaran gaji semuanya dalam tempoh 25 haribulan dan paling lewat 7 haribulan setiap bulan. Selain itu, bonus kemenangan dijanjikan bagi setiap perlawanan diuruskan dengan baik.

“PBSNT amat mengharapkan pasukan TFC kembali bangkit dan cepat mmebaiki kedudukan untuk mengharungi cabaran yang berbaki.

“Dengan keputusan pemilihan Mohamad Nafuzi Zain sebagai pengendali sementara, diharap beliau mampu menjalankan tugas seterusnya membantu pasukan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, PBSNT sedar penyokong berhak mengutarakan pandangan dan pendapat berhubung mutu persembahan pasukan bola sepak itu, namun menasihatkan mereka tidak terlalu cepat melatah atau menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.

“Saya kecewa juga kerana di laman sosial ramai yang menghentam dengan kata-kata kesat sedangkan mereka boleh memberi pandangan dalam bentuk yang lebih berhemah,” katanya.



, ,