Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Enam pekerja LPT2 dicekup, disangka geng curi lembu

KEMAMAN – Sekumpulan enam pekerja kontraktor Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ditangkap penduduk kampung berhampiran susur keluar LPT2 di Kampung Chabang, di sini, kira-kira jam 11 malam tadi gara-gara disangka geng curi lembu.

Kesemua enam lelaki itu ditahan selepas penduduk mendapati terdapat seekor lembu dalam sebuah van yang dinaiki keenam-enam lelaki berkenaan.




Tangkapan enam lelaki terbabit yang didakwa geng curi lembu turut tular di laman sosial Facebook sejurus kesemua pekerja kontraktor itu dicekup penduduk kampung.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kesemua enam lelaki terbabit sebenarnya merupakan pekerja kontraktor yang menjalankan tugas kerana diarahkan pengendali lebuh raya itu untuk menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran bagi mengelakkan berlaku kemalangan.

Katanya, berlaku sedikit salah faham apabila sekumpulan penduduk melihat pekerja-pekerja kontraktor itu berada di kawasan susur keluar lebuh raya itu pada waktu malam.

Seekor lembu ditemui dalam van yang dinaiki enam pekerja kontraktor menyebabkan penduduk mengesyaki enam lelaki itu mencuri lembu ternakan mereka.

“Penduduk kemudian bertindak menahan kumpulan enam lelaki itu sebelum memeriksa van yang dinaiki mereka dan melihat ada seekor lembu dalam van berkenaan.




“Berikutan itu mereka menyangka kumpulan itu mencuri lembu kerana sebelum ini difahamkan haiwan ternakan sering hilang,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan akibat berang perbuatan enam lelaki terbabit yang disangka pencuri, kesemua mangsa turut dipukul.

Susulan itu, Mohd Said mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menghukum pesalah kerana mereka boleh berdepan dengan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, orang ramai boleh didakwa mengikut Seksyen 323, 324, 325 dan 326 Kanun Keseksaan jika membuat tangkapan yang tidak sah dan mendatangkan kecederaan kepada orang yang ditahan bergantung kepada tahap dan cara orang itu dicederakan. – Sinar Harian