Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

11 kamera AWAS ditambah di lebuhraya PLUS

PETALING JAYA – Sebelas kamera Automated Awareness Safety System (AWAS) dijangka ditambah di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan, di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.



Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata lokasi-lokasi itu akan diputuskan selepas kajian dibuat bersama beberapa pihak berkaitan termasuk PLUS Malaysia Berhad dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dijangka siap tahun ini.

“Buat masa ini terdapat 19 kamera AWAS yang sedia ada di lebuh raya kendalian PLUS…11 kamera lagi akan dipasang di lokasi yang kerap berlaku kemalangan, dan mempunyai kes-kes kemalangan yang tertinggi.





“Akan ada tempat-tempat yang akan kami beri tumpuan yang lebih awal, satu daripadanya ialah Terowong Menora di Ipoh yang kerap berlaku kemalangan…,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian kenderaan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disumbangkan PLUS di Persada PLUS, di sini hari ini.

Beliau berkata PLUS akan menanggung kos pemasangan 11 unit itu, yang dianggarkan berjumlah RM3 juta, selain penyelengaraan berkala.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata sumbangan 10 unit kenderaan penguatkuasa Honda CRV daripada PLUS kepada JPJ itu, akan digunakan bagi tujuan rondaan dan penguatkuasaan JPJ di sepanjang lebuh raya di bawah seliaan PLUS. – Bernama