Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tan Cheng Hoe tetap optimis

Image may contain: 2 people, textSUBANG JAYA: Kekalahan skuad Harimau Malaya di tangan Singapura pada aksi Piala Airmarine 2019 menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk memintas Singapura dalam kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi perkiraan tidak rasmi, Malaysia akan kekal menghuni kedudukan ke-35 Asia walaupun berjaya menundukkan Afghanistan pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok sekali gus perlu mengharungi aksi ‘play-off’ Kelayakan Piala Dunia 2022.




Akur dengan situasi itu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe enggan panik sebaliknya menegaskan anak buahnya perlu bersedia dengan cabaran terbabit selain optimis misi ke Piala Asia 2023 sama sekali tidak akan terjejas.

“Aksi ‘play-off’ dijadual berlangsung pada bulan perayaan (6 dan 11 Jun) jadi saya mengharapkan pemain dapat bersedia dari segi mental dan fizikal memandangkan menjalani latihan pada bulan puasa dan hari perayaan sudah tentu memberi cabaran kepada pemain.

“Jika kita nilai berdasarkan momentum dan keazaman yang ditunjukkan pemain pada Piala AFF 2018 dan ia dapat terus dikekalkan, saya lihat aksi ‘play-off’ tidak akan mendatangkan masalah kepada kita.

“Aksi ini begitu penting kerana kita mahu layak ke pusingan seterusnya di mana ia bukan sahaja memberikan tiket ke Piala Dunia 2022 namun slot untuk beraksi di Piala Asia 2023,” katanya pada sidang media di Subang Jaya, hari ini.

Ketika ini, antara pasukan yang berada di belakang Malaysia dalam kedudukan ranking di Asia dan berpeluang menjadi lawan negara adalah Kemboja, Macau, Laos, Bhutan, Mongolia, Guam, Bangladesh, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.


Mengulas lanjut aksi bertemu Afghanistan, Cheng Hoe memberi bayangan rombakan dalam kesebelasan utama akan dilakukan sekali gus menyaksikan prospek beberapa muka baharu akan diturunkan.

“Saya akan menilai semua kesebelasan utama kerana kemungkinan beberapa pemain mengalami kecederaan. Bagaimanapun, saya tetap menaruh kepercayaan ke atas semua pemain dalam skuad kebangsaan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua pemain berpeluang untuk diturunkan kerana status senior bukan jaminan dalam skuad utama begitu juga pemain baru bukan bermakna tidak mendapat peluang bermain.

“Apa yang penting semua pemain sentiasa bersedia dan menguatkan mentaliti supaya dapat kembali bangkit dengan mengambil pengajaran daripada kekalahan sebelum ini,” katanya.