Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Mangsa Rempuhan Pesawat Meninggal Dunia, Polis buka kertas siasatan

KUALA LUMPUR – Juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang parah dirempuh sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang semalam disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 petang di sebuah hospital swasta sekitar Subang Jaya di sini semalam.

Difahamkan, arwah Mohd. Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md. Usuf dan empat anak berusia dalam lingkungan satu hingga 13 tahun.




Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, arwah Mohd. Ruzaimi merupakan seorang pekerja yang berdedikasi dan sentiasa komited dalam apa jua tugasan yang diberikan.

“Pemergian Mohd. Ruzaimi merupakan satu kehilangan besar buat Malaysia Airports dan kita akan memberi sokongan penuh terhadap keluarga mangsa termasuk membantu pengurusan pengebumian arwah bagi meringankan beban yang terpaksa dipikul mereka.

“Dalam pada itu, kita juga akan memastikan kebajikan keluarga arwah Mohd. Ruzaimi terjamin dan saya memohon orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang mampu mengguris hati keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.





Sementara itu POLIS membuka kertas siasatan berhubung kematian juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam insiden kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, kelmarin.

BACA: Pemandu parah pesawat langgar kereta

Dalam kejadian 3.20 pagi itu, mangsa, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, dipercayai berada dalam Perodua Kembara milik syarikat berkenaan untuk memantau kerja penyelenggaraan di landasan sebelum kenderaan itu dilanggar sayap pesawat peribadi.

Kejadian itu menyebabkan bahagian bumbung Perodua Kembara terbabit tercabut selepas terkena sayap pesawat berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, siasatan awal dilakukan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (DCA), namun kertas siasatan dibuka selepas mangsa disahkan meninggal dunia semalam.