Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Gol tetap gol tapi pemain kita tak ‘sporting’

Gol tetap gol tapi kita tak ‘sporting’Secara tersurat, ia akan kekal menunjukkan skuad B-23 negara menang 3-0 ke atas Filipina malam kelmarin. Tapi apa yang tersirat pula, pasukan kita tidak ‘sporting’ dan tidak mengamalkan ‘fair play’ dalam meraih gol ketiga itu.

Benar, ia bergantung di pihak mana anda berada dalam menilai gol itu – pihak yang meraih keuntungan akan mempertahankannya. Sebaliknya, pihak yang kerugian akan berperasaan kita kurang semangat kesukanan – itu sudah lumrah.



“Sudah tentu kami tidak gembira. Kami menghormati perlawanan ini dengan mempamerkan keberanian,” kata penolong jurulatih Filipina, Randolfo Clarino, seusai perlawanan peringkat Kumpulan J, Kejohanan Kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam itu.

Dia turut dilihat menuturkan rasa tidak senang hatinya kepada jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, ketika kedua-duanya bersalaman selepas perlawanan berakhir.

“Mungkin pemain (anda) mempunyai kefahaman yang berbeza (terhadap perlunya bersikap ‘gentleman’),” kata Clarino menyorot kepada gol ketiga Malaysia yang dibantah pemain-pemain Filipina kerana mendakwa bola harus disepak keluar ketika dua pemain Filipina sedang terlantar cedera sebelum gerakan yang menghasilkan jaringan itu.

Sebaliknya, apa yang berlaku ialah daripada satu hantaran jauh, Faisal Abdul Halim menggelecekkan seorang pemain pertahanan dan penjaga gol lawan, Michael Asong, untuk merembat masuk, menyaksikan pemain-pemain Filipina menyerbu pengadil, Turki Mohammed Alkhudhayr dari Arab Saudi, untuk membantah tapi gol itu tetap dibenarkannya.

Ia tidak menyalahi peraturan permainan kerana pengadil juga tidak meniupkan wisel yang membawa kepada gol itu.

Tapi, bersikap ‘gentleman’ atau ‘sporting’ terletak kepada pemain seperti yang sering ditonton dan diamalkan dalam perlawanan antarabangsa dan berbalik kepada gol ketiga itu, pemain kita tidak mengamalkannya.

Baiklah, sebahagian anda tidak bersetuju.

Cuba kita terbalikkan keadaan dengan mengandaikan Filipina yang melakukan itu dan kita di pihak yang kerugian. Mampukah kita bertepuk tangan terhadap jaringan mereka seumpamanya?

Hakikat bahawa skuad B-23 negara sedang mendahului 2-0 ketika itu dan tambahan satu gol lagi – apatah pula pada minit ke-82 – harus tidak akan memberi banyak perbezaan tapi itu bukan soalnya.

Bersikap ‘gentleman’ atau ‘sporting’ tidak membezakan di antara pasukan yang sedang mendahului atau ketinggalan.

Hanya pada 24 Februari lalu, keadaan hampir serupa berlaku dalam Liga Perdana Scotland ketika Celtic menjadi tuan rumah kepada Motherwell di Celtic Park.

Celtic sedang mendahului 2-0 apabila pemainnya, Ryan Christie, rebah cedera berhampiran garis tepi padang lima minit dalam separuh masa kedua. Pemain Celtic menyepak keluar bola agar Christie dapat diberikan rawatan.

Daripada lontaran ke dalam, pemain Motherwell seharusnya mengembalikan bola kepada Celtic tapi tidak. Mereka memanfaatkan situasi itu yang menyaksikan James Scott melarikan bola ke depan pintu gol Celtic untuk percubaannya ditampan penjaga gol, Scott Bain. Namun, Gboly Ariyibi mudah menolak masuk lantunan itu.

Celtic, yang membantah gol itu tapi tak diendahkan pengadil, kemudian menambah dua gol lagi untuk kemenangan 4-1 sambil Motherwell menanggung aib daripada kritikan akhbar-akhbar Scotland yang melabel mereka “pasukan penipu”.

Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, dalam mengakui pasukannya memerlukan kelebihan jaringan untuk menghambat China dalam kumpulan sama, harus tiada pilihan melainkan mempertahankan gol Faisal itu.

Lagipun, ia sudah berlaku. Apa yang diharap untuk dikatakannya?

“Saya tidak gemar perkara itu berlaku tetapi Malaysia memerlukan keputusan ini untuk memastikan berada dalam saingan untuk mengejar China,” katanya sambil turut menyalahkan kecederaan pemain-pemain Filipina pada penghujung permainan — kebanyakannya kerana kekejangan otot — sebagai helah melengah-lengahkan masa.

Skuad negara kini hanya berjurang dua gol di belakang China — menang 5-0 ke atas Laos — tapi pada masa sama, tidak harus merungut andai dilabel tidak ‘gentleman’ atau tidak ‘sporting’. – foxsport