Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Rakaman dedah ada mayat dalam bangkai pesawat dinaiki Sala

MAYAT ‘seseorang’ telah dilihat berada dalam bangkai pesawat yang membawa pemain bola sepak Cardiff City, Emiliano Sala, menurut Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Rakaman video dasar laut menunjukkan ‘seseorang’ berada dalam bangkai pesawat yang ditemui di Selat Inggeris, Isnin.

Pesawat Piper Malibu N264DB yang membawa Sala, 28, dan juruterbang David Ibbotson, 59, hilang di Selat Inggeris pada 21 Januari selepas meninggalkan Nantes di Perancis menuju ke Cardiff.




Dalam satu kenyataan, AAIB berkata penyiasatannya dengan Blue Water Recoveries Ltd menggunakan kapal pakar Geo Ocean III dan FPV Morven bermula pada pagi Ahad.

“Ketika awal pencarian, Morven mengenal pasti objek yang menarik di dasar laut menggunakan peralatan pengesanan sonar,” katanya.

“Kawasan itu ‘dibersihkan’ untuk Geo Ocean III menggunakan kenderaan bawah laut (ROV) untuk meninjau kawasan dasar, lokasi di mana letaknya objek itu.”

Penyiasat berkata rakaman ROV mendedahkan ‘objek’ itu ialah pesawat Piper Malibu yang hilang dan yang membawa Sala.

“Tragisnya, dalam rakaman video dari ROV itu, seseorang dapat dilihat di dalam bangkai,” kata AAIB.





Penyiasat kini sedang berbincang dengan keluarga juruterbang dan penumpang.

Terdahulu, bapa Emiliano Sala meluahkan rasa tidak percaya apabila mengetahui bangkai pesawat itu ditemui.

Operasi carian persendirian yang dibiaya bagi pihak keluarga Sala dapat diteruskan selepas kempen untuk tujuan itu berjaya memungut sebanyak £260,000.

AAIB berkata pihaknya berhasrat agar laporan interim dapat diterbitkan dalam masa satu bulan dari kemalangan itu.

Saintis marin David Mearns, yang juga pengarah Blue Water Recoveries, mengetuai pasukan untuk kapal pencarian FPV Morven sementara AAIB UK juga menghantar satu pasukan untuk kapalnya, Geo Ocean III.

Pada Ahad, Mearns menulis tweet: “Bangkai pesawat yang membawa Emiliano Sala dan dikendalikan oleh David Ibbotson telah dikesan awal pagi ini oleh FPV Morven. Seperti yang dipersetujui dengan AAIB, mereka menggerakkan GEO Ocean III pada kedudukan yang kami berikan kepada mereka untuk mengenal pasti pesawat dengan ROV secara visual.

“Keluarga Emiliano Sala dan David Ibbotson telah dimaklumkan oleh polis.” -MetroUK