Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Peluang remaja Malaysia ke Bayern Munich

ZAKRI KHIR (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif  Allianz Life KUALA LUMPUR 13 Feb. – Kem Bola Sepak Junior Allianz (AJFC) kini kembali mencari dua pemain berusia 14 hingga 16 tahun khususnya di luar bandar untuk dihantar berlatih di kelab terkemuka Jerman, Bayern Munich.



Inisiatif syarikat insurans dari Jerman itu bagi edisi kelapan diteruskan tahun ini dengan melebarkan pencarian meliputi pedalaman Sarawak buat kali pertama selepas berjaya di Sabah sebelum ini menerusi Liga AJFC yang mula diperkenalkan pada 2012.

Ketua Pegawai Operasi ­Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, kawasan penca­rian bakat diperluaskan selepas AJFC mendapat sambutan hangat dalam kalangan pemain remaja terutama di luar bandar yang terpinggir kerana gagal memasuki sekolah sukan, kelab atau pasukan bawah umur di peringkat negeri.

“Remaja yang ada bakat tetapi terpinggir perlu diberi peluang seperti ini bai memberi motivasi kepada mereka untuk berjaya dalam bola sepak.

Walaupun program ini tidak mendapat kerjasama persatuan bola sepak negeri, sambutannya cukup baik apabila seramai 7,400 remaja sudah menyertai pencarian sejak tujuh edisi lalu kebanyakan dari kawasan luar bandar.


“Peranan kami di Allianz bukan bertujuan untuk menjadikan remaja-remaja ini pemain profesional tetapi hanya untuk memberi peluang kepada mereka menunjukkan bakat atau potensi yang ada bagi melalui satu pengalaman yang lebih besar,” katanya selepas melancarkan Liga AJFC Kali Ke-8 di sini, hari ini.

Dengan bekas jurulatih Felda United, E. Elavarasan bakal mengetuai panel pemilihan, Liga AJFC akan bermula pada 2 Mac hingga 21 April di enam wilayah yang dipecahkan mengikut Zon Tengah (UPM, Subang Jaya), Selatan (Melaka), Utara (USM/Pulau Pinang), Pantai Timur (Pahang), Sabah (Kota Kinabalu) serta Sarawak (­Kuching).

Hanya 16 dibenarkan beraksi dalam setiap wilayah, dan ia dipecahkan kepada dua kumpulan menggunakan format liga sepusingan.

Hanya juara kumpulan akan mara ke perlawanan akhir.

Selepas saingan di peringkat wilayah masing-masing ­berakhir, barisan juri diketuai Elavarasan akan memilih 18 pemain terbaik untuk membentuk enam pasukan pula bagi pusingan akhir dari 4-6 Julai di Subang Jaya.

Daripada pusingan akhir, 10 pemain terbaik akan dipilih untuk mengambil bahagian dalam AJFC di Singapura dari 21 hingga 26 Julai sebelum dua yang terbaik diputuskan untuk berlatih di Bayern Munich.