Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pelajar kolej dipenjara 6 tahun rompak selepas ajak seks

MIZAN QISTINA RAZALIPETALING JAYA 31 Jan. – Tindakan seorang pelajar kolej swasta ‘mengumpan’ dengan ajakan seks sebelum merompak seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi sosial Tinder tiga tahun lalu mengundang padah apabila wanita itu dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman yang diperintahkan bermula dari hari ini terhadap Mizan Qistina Razali, 24, yang hadir dengan ditemani ke­dua-dua ibu bapanya selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.




Mahkamah bagaimanapun mem­benarkan permohonan pi­hak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu ra­yuan di Mahkamah Tinggi de­ngan mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM7,000.

Mengikut pertuduhan, Mizan Qistina bersama seorang lagi yang masih bebas iaitu bekas teman lelakinya telah me­lakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau terhadap Foong Wei Chieh, 34, dengan merampas sebuah telefon bimbit iPhone 6S dan wang tunai RM1,500 di Cova Suites, Jalan Teknologi, Kota Damansara di sini pada pukul 9.30 malam, 24 November 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Mengikut fakta kes, tertuduh menjemput mangsa ke kondominiumnya untuk melakukan seks sebelum seorang lagi suspek lelaki yang masih bebas masuk ke dalam rumah dan merompak mangsa.




Ketika suspek lelaki bergelut de­ngan mangsa, Mizan Qistina terus mengambil dompet mangsa dari kereta sebelum mengeluarkan wang milik mangsa daripada mesin juruwang automatik (ATM).

Terdahulu, ketika rayuan, peguam Norhasham Hasan yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya masih muda ketika melakukan kesalahan tersebut dan hukuman penjara yang lama akan memberi kesan kepada masa depan tertuduh yang juga merupakan anak sulung dalam keluarganya.

“Anak guam saya juga bertindak demikian kerana terpengaruh dengan ajakan bekas teman lelakinya yang mengaburi mata tertuduh untuk hidup senang. Oleh itu, saya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor penggunaan senjata berbahaya dalam kes ini di samping ia adalah jenayah terancang dan bukannya jenayah yang dilakukan akibat desakan.