Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Hadi Fayyadh selamatkan maruah Malaysia

PHNOM PENH, Kemboja: Penyerang kelab Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak muncul penyelamat maruah skuad bawah 22 tahun (B-22) negara apabila jaringan pada minit ke-86 berjaya memastikan pasukan meraih satu mata selepas terikat 2-2 dengan Indonesia dalam aksi kedua saingan Kejuaraan Piala AFF B-22 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, di sini, sebentar tadi.




Keputusan itu sudah pasti melegakan pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee yang masih berpeluang untuk merebut dua tempat teratas dari Kumpulan B dengan aksi terakhir menentang Myanmar Jumaat ini sebagai penentu.

Kecederaan yang menimpa R Kogileswaran dan penggantungan perlawanan dihadapi Danial Haqim Draman susulan dua kad kuning diterimanya ketika tewas 0-1 kepada Kemboja pada aksi pertama Isnin lalu, menyaksikan berlakunya rombakan kecil dalam kesebelasan utama pasukan.

K Thivandaran dan Nik Akif Syahiran Nik Mat selain Nabil Hakim Bokhari antara tiga muka baharu yang dipertaruhkan dengan selebihnya masih dikekalkan oleh pengendali pasukan Datuk Ong Kim Swee.

Beraksi di bawah cuaca panas sekitar 33 darjah celcius tidak mengganggu rentak negara apabila tandukan penyerang, Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit pertama hampir meletakkan pasukan di depan namun percubaanya itu sempat ditepis penjaga gol lawan, Satria Hardiyanto.

Indonesia yang sebelum ini terikat 1-1 dengan Myanmar hampir menghukum kealpaan benteng negara apabila percubaan penyerang tinggi lampai, Marinus Wanewar sedikit tersasar ketika Haziq Nadzli sudah pun tertewas minit ke-39.

Tiga minit kemudian, gawang Malaysia sekali lagi diuji namun tiang menjadi penyelamat apabila sepakan percuma Luthfi Kamal Baharsyah tepat mengenai tiang yang melantun keluar untuk melegakan Haziq.


Hanya tujuh minit selepas bersambung babak kedua, skuad Garuda Muda kendalian Indra Sjafri berjaya meraih gol pertama hasil sentuhan Marinus yang mudah memperdayakan benteng negara pada minit ke-52.

Anak buah Kim Swee hanya memerlukan sembilan minit untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-61 menerusi sepakan percuma Nik Akif untuk mengecewakan Satria.

Bagaimanapun, Indonesia kembali mendahului menerusi rembatan padu pemain gantian, Witan Sulaeman pada minit ke-76, sebelum Malaysia sekali lagi bangkit hasil tandukan cantik Hadi untuk menamatkan aksi dengan keputusan seri 2-2.