Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Ejen dedah punca sebenar Faris Ramli tinggalkan Perlis

Ejen pemain Effendi Jagan Abdullah tampil mendedahkan cerita sebenar kenapa pemain import dari Singapura, Faris Ramli membuat keputusan meninggalkan Perlis hanya beberapa hari selepas menandatangani kontrak dengan pasukan itu.

Perlis pada 11 Januari lalu mengumumkan telah berjaya mendapatkan khidmat Faris Ramli untuk memperkuatkan pasukan, malah pemain itu sendiri menyatakan rasa teruja mahu membantu skuad singa utara layak ke Liga Super 2020 namun apa yang mengejutkan tidak sampai seminggu selepas itu Faris Ramli dilaporkan telah menamatkan kontraknya dengan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) secara persetujuan bersama.



PFA kemudiannya dalam satu kenyataan menjelaskan kontrak pemain kebangsaan Singapura itu dibatalkan tanpa syarat kerana masalah peribadi pemain itu selain isu keluarga.

Begitupun Effendi Jagan yang merupakan ejen berpengalaman luas dan bertindak sebagai ejen kepada bekas pemain PKNS FC itu berkata dia yang menasihatkan Faris Ramli untuk membuat keputusan tersebut kerana timbul keraguan akan kredibiliti PFA.

“Sejak dari awal saya sudah nampak ada yang tidak kena, Faris ditawarkan sekitar AS$10,000 dan menandatangani kontrak setahun. PFA juga janji nak bayar sewa apartmen dia tetapi bila dia memilih apartmen di Kuala Lumpur, PFA gagal untuk membayar deposit.




“Mereka kemudiannya minta Faris tinggal di hotel dan akan menggantikan kembali wangnya. Selepas tiga hari Faris memaklumkan kepada saya mengenai perkara ini dan saya meminta dia meninggalkan pasukan kerana dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Nasib baik Presiden PFA bersetuju untuk melepaskan Faris daripada kontrak tanpa sebarang syarat dan sememangnya saya lega dapat menyelamatkan dia daripada menjadi salah seorang mangsa. Secara jujur kes Perlis ini adalah pengalaman terburuk saya pernah hadapi sejak menjadi ejen,” kata Effendi kepada Sukan NSTP.

Kemelut melanda PFA semakin memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan apabila seorang demi seorang pemain tampil bersuara berikutan tidak menerima gaji selama dua bulan (Disember dan Januari) dan merasakan mereka telah tertipu dengan kata kata manis pihak pengurusan.

Beberapa pemain berprofil tinggi seperti Safee Sali, Badhri Radzi, Shahril Shaari dan Azmi Muslim pula dilaporkan sedang berkira kira mahu menyertai pasukan lain, namun mereka dilihat masih menunjukkan komitmen bersama Perlis yang akan turun menentang Uitm FC dalam aksi kedua Liga Premier 2019 pada Jumaat.

Dalam pada itu, Faris Ramli pada Khamis telah menandatangani kontrak bersama kelab Liga Premier Singapura, Hougang United.