Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Dua jurulatih Liga Super dapat surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan menghantar surat tunjuk sebab kepada dua jurulatih Liga Super berhubung kritikan terbuka mereka terhadap pegawai perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan tindakan berkenaan dibuat badan induk itu bagi menjaga integriti pengadil dan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.




Beliau turut mengesahkan salah seorang jurulatih itu sudah membalas surat tunjuk sebab yang diberikan manakala FAM masih menunggu penjelasan daripada seorang lagi jurulatih.

“FAM sekarang mengambil langkah tegas dengan mana-mana jurulatih atau pihak pengurusan yang membuat komen yang mungkin tidak patut mengenai pegawai perlawanan atau apa-apa keputusan FAM.

“Saya tak nak dedahkan siapa yang FAM bagi surat itu, tapi memang dari minggu pertama (hingga sekarang) FAM sudah mengeluarkan dua surat tunjuk sebab kepada dua pengurus (jurulatih) pasukan Liga Super.


“Selalunya kita bagi tempoh seminggu untuk mana-mana jurulatih untuk memberikan maklum balas kepada kami,” katanya kepada BH Sukan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim dan jurulatih Selangor, B Sathianathan yang ada mengeluarkan kenyataan kepada media yang didakwa mengkritik pengadil perlawanan dalam Liga Super.

Selain itu, Stuart menjelaskan tindakan itu bukan sesuatu yang pelik kerana di liga luar negara juga badan induk bola sepak mereka mengambil tindakan sama ke atas jurulatih.

“Jika kita lihat baru-baru ini Jurgen Klopp (jurulatih Liverpool) pun kena (tindakan). Anda boleh ambil bukti daripada liga lain (mengenai tindakan terhadap) sebarang kenyataan yang keluar melalui media sama ada daripada jurulatih atau mana-mana pihak pengurusan mengenai pegawai perlawanan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid ketika dihubungi BH Sukan sebelum ini menjelaskan mana-mana jurulatih yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan perlu mengemukakan aduan rasmi kepada FAM.

Beliau berkata langkah itu adalah lebih baik dalam usaha FAM melakukan penambahbaikan terhadap mutu pengadilan Liga M yang sering menjadi pertikaian umum.