Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Dividen KWSP turun 1.70 peratus

KUALA LUMPUR: Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2018 turun 1.70 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan berkata, kadar dividen Simpanan Konvensional 2018 ditetapkan pada 6.15 peratus manakala Simpanan Syariah pada 5.90 peratus.



Menurutnya, perkara itu melibatkan agihan dividen RM43 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM4.32 bilion untuk Simpanan Syariah dengan jumlah keseluruhan agihan dividen RM47.31 bilion.

“Purata kadar dividen sebenar bagi tiga tahun berturut-turut sebanyak 3.93 peratus melebihi kadar inflasi untuk Simpanan Konvensional dan 3.68 peratus untuk Simpanan Syariah.

“KWSP telah menjangkaui mandatnya untuk mengisytiharkan 2.50 peratus dividen setiap tahun dan tidak kurang dari 2.00 peratus bagi dividen sebenar untuk purata tiga tahun.




“Ini masih dapat direalisasikan meskipun tahun 2018 merupakan tahun yang sukar dan didominasi oleh ketidaktentuan dan trend penurunan pasaran global yang dicetus oleh perang perdagangan AS – China serta empat kitaran kenaikan kadar faedah AS dalam satu tahun yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Tambah beliau pendapatan pelaburan kasar untuk 2018 adalah sebanyak RM50.88 bilion, yang mana RM4.62 bilion dijana bagi Simpanan Syariah.

Penurunan pendapatan portfolio Syariah KWSP pada 2018 adalah disebabkan oleh prestasi kurang memberangsangkan untuk sektor telekomunikasi, pembinaan dan minyak dan gas dalam portfolio domestik.

“Pelaburan luar negara yang merangkumi pelbagai kelas aset menyumbang 37.52 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP, lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan kejatuhan harga ekuiti sedunia dan serantau serta ketidaktentuan pertukaran mata wang asing,” tambahnya.