Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Amaran Piya kepada PFA, bagi tempoh hanya satu perlawanan sahaja

Hanya beberapa hari selepas menyatakan keyakinan terhadap pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Badhri Radzi atau Piya mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan pasukan itu jika masih gagal melunaskan gaji pemain-pemain pasukan itu yang kini sudah dua bulan ‘sangkut’.

Menurut Piya, dia sudah letih mendengar pelbagai janji dan alasan yang diberikan pengurusan dan hanya akan memberi masa beberapa hari sahaja lagi kepada PFA untuk menunaikan janji mereka.




“Sudah dua bulan saya bersama Perlis, sehingga kini satu sen pun saya belum terima daripada mereka. Sudah beberapa kali mereka menangguhkan dan terkini, pengurusan berjanji akan membayar pada 3 Februari (Ahad).

“Tapi, Ahad adalah cuti hujung minggu, sebarang urusan bank tidak dapat dijalankan. Selepas itu, kita akan cuti Tahun Baru Cina pula. Jadi, kita tunggu dan lihat.

“Kami, pemain-pemain senior sudah sepakat hanya memberi peluang sehingga perlawanan pertama menentang UKM, malam esok. Jika selepas perlawanan itu keadaan tidak berubah, saya akan angkat kaki. Setakat ini sudah ada pihak yang mahu membantu saya menyertai pasukan lain,” ujar Piya dipetik daripada Labola Malaya.

PFA sebelum ini berjanji akan melunaskan gaji pertama pemain-pemain 2019 bagi bulan Disember pada 7 Januari lalu, namun pengurusan memaklumkan berlaku sedikit kelewatan dan berjanji menyelesaikan dua bulan gaji (Disember dan Januari) pada 27 Januari.





Ia kemudian dimungkiri lagi dengan mereka menyatakan gaji akan dibayar selewat-lewatnya sebelum perlawanan pertama Liga Premier 2019 antara Perlis dan UKM FC pada Ahad ini.

Penyertaan Perlis dalam saingan Liga Premier musim ini sememangnya daripada awal menimbulkan persoalan ramai peminat dan pemerhati bolasepak tempatan, memandangkan mereka tidak layak secara merit malah menanggung hutang tunggakan gaji yang cukup besar gara-gara masalah kewangan kritikal.

Bagaimanapun Malaysian Football League pada 28 Disember lalu meluluskan penyertaan mereka dengan alasan yakin dengan pengurusan baru pasukan itu yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk membangunkan semula bolasepak Perlis.



,