Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

64 hari tidur duduk

Image may contain: 6 peopleKUCHING: Tidur secara duduk selama 64 hari, berhimpit dalam sel kecil yang hanya dapat memuatkan dua katil besi antara ‘pengalaman berharga’ terpaksa ditempuh 47 warga Malaysia, termasuk 40 anak Sarawak yang ditahan di Penjara Wilayah Banteay Mancheay, Kemboja.

Malah, sejak ditahan di penjara itu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan judi atas talian pada 11 Disember lalu, kebanyakan mereka hanya diberi makan nasi putih bersama sup sayur, selain ‘bersulam’ air kosong.

Keadaan sesak dan tidak selesa turut menyebabkan ada antara tahanan terbabit mengalami masalah ruam dan alahan kulit.



Ia seolah-olah menjadi ‘teratak pengajaran’ kepada 47 tahanan terbabit, termasuk masing-masing tiga dari Selangor dan Sabah, selain seorang dari Kuala Lumpur.

Semua mereka ditahan pihak berkuasa Kemboja sejak 11 Disember lalu atas dakwaan terbabit dengan perjudian dalam talian selepas terpedaya dengan janji manis meraih gaji lumayan, namun nasib mereka mengejar impian itu kini berakhir di balik tirai besi.

Ada antara mereka dikenakan bayaran pendahuluan AS$100 hingga AS$200 seorang, manakala ada yang tidak dikenakan bayaran. Majoriti tahanan berkenaan adalah anak muda, bermula usia 19 tahun hingga 44 tahun.

Kedatangan kumpulan kecil diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bersama seorang wakil keluarga mangsa, Zunita Sedini, 42, benar-benar mengejutkan 47 rakyat Malaysia di penjara berkenaan dengan suasana agak sunyi, bertukar ‘mood’ menjadi hiba selepas mereka tiba di penjara itu pada jam 10.30 pagi kelmarin, waktu tempatan.





Image may contain: 15 people, people smiling, people standingSejurus tahanan rakyat negara ini melihat kumpulan kecil yang berkunjung, masing-masing mengalirkan air mata dan ada yang menarik tangan kumpulan itu dan memeluk mereka walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, dengan Zunita Sedini, 42, masih mencari anak sulungnya, Yusuf Islam Abdul Halik.

Pastinya, semua mampu menggambarkan bagaimana situasi bertemu semula dengan anaknya, memeluk dan mencium Yusuf, seolah-olah seperti dia menyambut kelahiran anak sulungnya itu, 21 tahun lalu.

Sumber memberitahu NSTP, perjalanan ke Penjara Wilayah Banteay Mancheay, berjalan cukup baik selepas berangkat dari Kuala Lumpur pada jam 6.45 pagi kelmarin, dan menempuh perjalanan darat dari Siem Reap selama satu setengah jam.

“Wajah masing-masing jelas memancarkan harapan menggunung untuk kami membantu mereka keluar dan dibawa pulang semula ke Malaysia,” katanya.

Ketika ini, perundingan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Kemboja sedang berlangsung dengan tumpuan perundingan berkisar isu membawa semua tahanan itu pulang ke tanah air secepat mungkin.