Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

4 Pasukan paling berjaya dalam sejarah Liga Super

Liga Super merupakan saingan tertinggi dalam piramid bola sepak Malaysia. Mula diperkenalkan pada tahun 2004, Pahang FA merupakan pasukan pertama yang menempa sejarah dinobatkan sebagai juara pada edisi sulungnya. Memasuki edisi ke-15 pada tahun ini, pelbagai pasukan telah berjaya merangkul kejuaraan liga ini.

Di sini, FOX Sports Malaysia ingin menampilkan empat buah pasukan paling berjaya dalam sejarah Liga Super Malaysia sejak ia dipertandingkan pada tahun 2004:

1) Kedah FA

Image result for kedah 2007Bercakap mengenai Liga Super, kita tidak dapat lari daripada bayangan kegemilangan pasukan Kedah sewaktu musim 2006/07 dan 2007/08. Ketika itu, skuad Kenari – gelaran pada waktu itu – dipimpin oleh seorang jurulatih yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak tanah air, Mohd Azraai Khor Abdullah. Manakala, pemain-pemain yang menyarung jersi Hijau Kuning pada saat itu ialah Marlon Alex James, Victor Andrag, Ahmad Fauzi Shaari, Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen serta penjaga gol, Helmi Eliza. Musim 2007/08 juga menyaksikan penyerang prolifik Sang Kenari, Marlon Alex James berjaya menemui gawang sebanyak 23 kali sekaligus dinobatkan selaku pemenang ‘kasut emas’ bagi musim tersebut. Mereka bukan sahaja merangkul kejuaraan Liga Super berganda malah turut cemerlang menjulang saingan Piala FA dan juga Piala Malaysia. Skuad lagenda ini diberi gelaran ‘double treble’ atas kejayaan mereka merangkul 3 trofi bagi dua musim berturut-turut.



2) Selangor FA

Image result for selangor 2010Selangor merupakan nama besar dalam kancah bola sepak tanah air. Ditubuhkan sejak tahun 1936, mereka merupakan gergasi bola sepak Malaysia suatu masa dahulu. Ketika Liga Super mula dipertandingkan, Gergasi Merah pernah menguasai saingan ini pada musim 2009 dan 2010. Ketika itu, mereka dipimpin oleh K. Devan dan membariskan antara nama-nama besar dalam kancah bola sepak tempatan seperti Amri Yahyah, Safee Sali, Razman Roslan, Nasriq Baharom, Amirulhadi Zainal dan juga Rudie Ramli. Antara pasukan yang memberi tentangan hebat kepada skuad Merah Kuning adalah Perlis dan Kedah bagi musim 2009. Manakala pada musim 2010, Kelantan dan Terengganu menghambat mereka sehingga ke penghujung musim.

3) Kelantan The Red Warriors

Related imageSemenjak dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa, Kelantan yang kemudiannya dijenamakan sebagai Kelantan The Red Warriors (TRW) mempunyai kisah yang panjang sebelum menjadi sebuah pasukan yang berjaya. Pernah terperosok ke saingan Piala FAM (divisyen 3) sebelum bangkit merangkak ke Liga Premier dan seterusnya menjadi gergasi bola sepak tempatan bermula musim 2010.

Musim 2011, Sang Kijang mula menunjukkan dominasinya apabila berjaya merangkul kejuaraan Liga Super buat pertama kali dalam sejarah. Musim itu, TRW dibimbing oleh Datuk M. Karathu dan dibarisi dengan pemain-pemain yang semakin mencipta nama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya, Daudsu Jamaluddin, Khariul Fahmi Che Mat dan tidak terlupa, si kapten ‘fantastic’ Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya. bertambah manis, mereka sekali lagi berjaya mengulangi kejayaan merangkul kejuaraan Liga pada musim seterusnya disamping berjaya melengkapkan musim 2012 dengan dua lagi trofi iaitu Piala FA dan Piala Malaysia.

4) Johor Darul Ta’zim (JDT)

Related imageTidak perlu diperkenalkan lagi, Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim adalah gergasi bola sepak Malaysia, pada waktu ini. Sejak diambil alih oleh DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada tahun 2013 lalu, JDT tidak perlu menunggu lama untuk mengecapi trofi Liga Super mereka yang pertama dengan memenanginya pada musim 2014. Sejak daripada itu, trofi Liga Super bagaikan tersimpan kemas di dalam kabinet di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin selama lima musim berturut-turut. Di antara keempat-empat pasukan dalam senarai ini, kami boleh rumuskan bahawa Harimau Selatan adalah pasukan yang paling berjaya dalam sejarah Liga Super setakat ini.

Walaupun, para jurulatih dan pemain datang bersilih ganti, JDT melangkah dengan lebih cemerlang setiap musim bukan sahaja dalam saingan Liga Super, malah turut merangkul trofi lain termasuk Piala AFC pada tahun 2015. Musim ini, menjadi pasukan pertama daripada Malaysia yang telah sah bertanding dalam kancah elit Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC.

Kredit: foxsports.com.my



 

,