Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tujuh perokok dapat kebenaran cabar larangan merokok

Mohamad Haniff Khatri Abdulla (dua dari kiri) dan Datuk M. Reza HassanKUALA LUMPUR 29 Jan. – Tujuh perokok berjaya memperoleh kebenaran bagi mencabar larangan merokok di semua premis makanan oleh Kementerian Kesihatan yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.



Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian di kamar hakim di sini dengan dihadiri peguam-peguam Mohamed Haniff khatri Abdulla dan Datuk M. Reza Hassan bagi pihak individu itu selaku pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Kesihatan sebagai responden tunggal.

Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan untuk menggantung penguatkuasaan larangan itu atas alasan mahkamah tidak berhak menggantung mana-mana keputusan membabitkan operasi perundangan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 31 Disember tahun lalu, tujuh pemohon terbabit Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd. Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd. Yazid Mohd. Yunus, 48, serta Yuri Azhar Abdollah, 39, memfailkan permohonan itu atas kapasiti individu dan bagi pihak semua perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok.





Kesemua pemohon mendakwa larangan merokok itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana merokok bukan suatu aktiviti jenayah dan atau diharamkan di negara ini dan sehubungan itu, aktiviti tersebut adalah suatu yang sah daripada segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Mereka juga mendakwa, perokok mempunyai hak yang sama rata dengan golongan yang tidak merokok untuk mengunjungi dan menghabiskan masa mereka di premis-premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.

Sehubungan itu, pihak pemohon memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan pihak responden menguatkuasakan larangan tersebut selain deklarasi bahawa keputusan penguatkuasaan itu adalah suatu tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN