Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Syukur Bangga Gambar Kerbau Milik Ayahnya Dapat Perhatian Dunia

Image may contain: sky, outdoor and natureKUALA TERENGGANU, 11 Jan : “Saya bangga dan seronok bila gambar saya bersama Awang, Semek, Baba dan Tongkol tular di media sosial sebab ia telah mengharumkan nama keluarga, kampung dan sekolah,” kata Muhammad Syukur Khamis, 14, merujuk kepada empat daripada kerbau peliharaan ayahnya.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu popular dalam kalangan jurugambar sejak 2015 kerana kebolehannya berinteraksi dengan lebih 100 kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 63, di Kampung Kubang Bujuk, kira-kira 13 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.




Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata kehidupan seharian beliau dipenuhi aktiviti bersama haiwan peliharaan bapanya iaitu kerbau, kambing, lembu, angsa dan ayam kampung berbanding bermain gajet seperti rakan sebaya yang lain.

“Sejak tadika saya dah ikut ayah bermain kerbau. Saya boleh baring dan duduk dengan kerbau ini berjam-jam lamanya tanpa rasa bosan kerana saya rasa tenang.

Image may contain: 1 person, cloud, sky, outdoor and nature“Alhamdulillah, setakat ini saya tak pernah lagi mengalami sebarang kecederaan ketika bermain dengan Awang, Semek, Baba, Adik dan Tokol (nama gelaran kerbau) kerana kami saling menyayangi, bergurau dan bermanja,” katanya ketika ditemui pemberita di kandang kerbau milik ayahnya di sini, hari ini.

Gambar Syukur bersama sekawan kerbau itu menjadi tular di media sosial setelah menjadi juara peringkat Asia selain turut tersenarai 20 gambar terbaik dunia.

Malah, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut melahirkan kekagumannya dengan kejayaan itu dan menyifatkan hubungan Syukur dengan kerbau itu hasil perasaan halus masing-masing yang dijelmakan dengan perbuatan kebersamaan seolah-olah zahir sebuah rahmah antara manusiawi dan haiyawani.





Facebook rasmi ‘Syukor Khamis-Kampong Boy’ yang diwujudkan beberapa tahun lalu hanya memiliki lebih 2,000 ‘likers’ namun sejak gambar Syukur menjadi tular sejak semalam, jumlah ‘likers’ akaun itu terus mendadak naik kepada 7,564 orang (setakat 11.45 pagi).

Khamis berkata sejak 2015 lebih 100 orang jurugambar dari dalam dan luar negara datang ke kediamannya untuk merakam gambar Syukur dan ‘kawan-kawannya.’

Sementara itu, ibu bapa Syukur, Khamis Jusoh, 63 dan Azizah Mamat, 58, menyifatkan gambar yang tular itu sebagai rezeki buat anak bongsu mereka yang menjadi popular sekelip mata.

Kelihatan Syukor bergurau bersama salah seekor kambing peliharaannya.-Foto FB Syukor Khamis - Kampun“Sebenarnya, semua anak kami memang boleh berinteraksi dengan kerbau, malah anak sulung yang kini berusia 30 tahun lebih hebat kemahirannya dalam menjinakkan kerbau, cuma masa itu tidak pernah tular seperti Syukur.

“Syukur ini anugerah Allah kerana bukan kerbau sahaja yang berkawan dengan dia malah kambing, lembu, angsa dan ayam kampung pun adalah teman sepermainan Syukur sejak dia berumur enam tahun sebab dia rajin ikut saya menggembala kerbau,” katanya yang mempunyai lebih 100 ekor kerbau, empat ekor lembu dewasa dan 20 ekor kambing.

Khamis berkata beliau kini sedang mempersiapkan anak-anaknya termasuk Syukur dan kakaknya Norain Solehah untuk mewarisi perniagaanya itu memandangkan mereka dilihat berminat meneruskan tradisi yang diwarisi daripada dua generasi terdahulu.

“Syukur sendiri pun dilihat berminat nak mewarisi apa yang sedang saya usahakan ini…malah kakaknya Ain kini sedang menuntut bidang berkaitan iaitu Ijazah Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan, di Universiti Sultan Zainal Abidin, jadi saya tidak risau, perniagaan saya dah ada pewarisnya,” katanya.

Sumber FB Syukor Khamis-Kampong Boy