Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Selepas 50 Tahun, Jepun Tamat Khidmat Kelui

Image result for japan pagerPUPUS… Jepun akan menamatkan era penggunaan alat kelui atau pager pada 2019 selepas lima dekad, demikian diumumkan oleh syarikat pembekal terakhir negara maju itu.

Tokyo Telemessage, yang merupakan satu-satunya penyedia pager di Jepun, menyatakan bahawa pihaknya memutuskan untuk menamatkan khidmat tersebut di Tokyo dan tiga kawasan kejiranan pada September 2019.




Syarikat tersebut namun menyifatkan keputusan itu sebagai ‘amat dikesali’. Tokyo Telemessage menambah bahawa ia sudahpun berhenti menghasilkan alat peranti kelui berkenaan sejak 20 tahun lalu.

“Pager sangat popular pada suatu ketika dulu… tetapi jumlah pengguna semakin berkurangan sehingga menurun kepada 1,500 orang,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan media di ibu negara.

Kelui, yang juga dikenali sebagai ‘poke-beru‘ di Jepun, amat popular pada tahun-tahun 1990-an terutamanya dalam kalangan pelajar perempuan yang amat gemarkan fungsi teks mesejnya yang kuno.




Malahan ketika tahun kemuncaknya pada 1996, jumlah pengguna teknologi mesej tersebut di negara itu pernah mencecah lebih 10 juta orang, menurut data pihak kerajaan Jepun.

Bagaimanapun, populariti telefon bimbit dengan pantas berjaya mengubah teknologi pager menyebabkan jumlah penggunanya semakin merosot saban tahun.

Syarikat telekomunikasi utama Jepun iaitu NTT, yang pernah memperkenalkan perkhidmatan kelui pada 1968, sudah lama menghentikan khidmat teknologi itu pada 2007.

Para pelawat ke Jepun sering hairan dengan pelbagai teknologi yang terdapat di Jepun.

Misalnya meskipun Jepun merupakan sebuah negara yang penuh dengan alat teknologi tinggi dan canggih, ia juga masih lagi menggunakan teknologi lama seperti mesin faks sebagai alat komunikasi. – AFP