Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Imbas jari sebelum masuk kelas

KUALA LUMPUR: Sistem biometrik menggunakan imbasan cap jari yang kini diperkenalkan di sekolah bukan saja mampu mengatasi gejala ponteng, malah membolehkan ibu bapa memantau status kehadiran anak mereka.



Usaha berkenaan kini dilaksanakan pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara, Kulai, Johor dengan pelajar dikehendaki mengimbas cap jari mereka di terminal khas sebelum memulakan sesi pembelajaran di sekolah setiap hari.

Sekolah itu juga adalah perintis penggunaan sistem dan aplikasi berkenaan di Johor.

Pengetuanya, Noraini Mohd Nor berkata, sistem canggih itu satu usaha bagi mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) 95 peratus kehadiran pelajar ke sekolah.

“Kita mencari mekanisme sesuai bagi memantau kehadiran pelajar ke sekolah dan kita dapati cara terbaik adalah menggunakan sistem biometrik,” katanya seperti dipetik NTV7.





Menurutnya, sistem berkenaan dibangunkan dan diuji sejak Oktober tahun lalu sebelum diguna pakai sepenuhnya tahun ini.

“Selain itu, sistem ini juga mengurangkan beban guru merekod kehadiran setiap pelajar secara manual setiap hari,” katanya.

Sistem berkenaan itu juga inisiatif antara sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memantau kehadiran anak masing-masing ke sekolah.

Ibu bapa turut teruja dengan penggunaan sistem itu kerana memudahkan mereka menyemak kehadiran anak dengan hanya merujuk kepada aplikasi kehadiran khas.

Ibu pelajar, Haslina Mohd Bakri berkata, setiap ibu bapa dikehendaki membayar RM15 setahun untuk satu keluarga dan bukan bagi seorang anak.

“Saya rasa aplikasi ini bagus berikutan setiap ibu bapa boleh memantau kehadiran anak masing-masing ke sekolah dan jam berapa tiba terutama anak yang menunggang motosikal.

“Aplikasi dinamakan Sistem MySekolah Pepatih ini juga memantau kehadiran anak bagi aktiviti sekolah seperti kokurikulum serta keputusan peperiksaan,” katanya.