Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

VIDEO Lelaki dibelasah berkumpulan akibat berebut anak

AKIBAT berebut hak penjagaan anak selepas bercerai dengan isterinya, seorang lelaki dibelasah sekumpulan lelaki termasuk bekas abang iparnya selain dihentak dengan kerusi dan meja di hadapan restoran di Salak Selatan, Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu.

Mangsa turut ditumbuk bertalu-talu dan kejadian pada 9 malam itu dirakam orang awam di lokasi kejadian sebelum video berdurasi 27 saat itu tular di laman sosial sejak semalam.




Dalam rakaman berkenaan menunjukkan seorang lelaki terbaring sambil cuba menahan daripada dibelasah empat lelaki menggunakan kerusi serta meja makan restoran.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, susulan kejadian itu, pihaknya sudah menahan dua lelaki berusia 26 dan 40 tahun di sekitar Seri Kembangan, Selangor, semalam.

“Kejadian berlaku di hadapan restoran di Taman Salak Selatan. Pergaduhan dipercayai berlaku selepas mangsa tidak berpuas hati mengenai hak penjagaan anak selepas dia bercerai dengan isterinya.





“Berlaku pertengkaran dan pergaduhan dengan bekas abang iparnya yang turut berada di tempat kejadian bersama bekas isteri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam pergaduhan itu beberapa individu lain turut memukul mangsa menggunakan kerusi dan meja makan menyebabkan mangsa mengalami lebam di seluruh badan.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menahan dua lelaki berusia 26 dan 40 tahun yangkedua-duanya berasal dari Seri Kembangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera menggunakan objek merbahaya termasuk kerusi dan meja di tempat kejadian.