Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tan Cheng Hoe serah nasib kepada FAM

HANOI: Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sama ada mahu melanjutkan kontraknya yang bakal berakhir hujung bulan ini.

Meskipun gagal membimbing skuad negara merangkul kejuaraan Piala AFF 2018 selepas tumpas kepada Vietnam menerusi agregat 3-2 malam tadi, namun pengendali berusia 50 tahun itu berjaya menepati sasaran FAM untuk layak ke pentas akhir.




Bagaimanapun Cheng Hoe, mengakui segala keputusan bergantung kepada FAM sama ada masih mahu memberi kepercayaan kepadanya selepas dilantik menggantikan Nelo Vingada pada Disember tahun lalu.

“Semua keputusan terletak kepada pihak pengurusan tertinggi FAM. Saya sebagai jurulatih berasa sudah memberikan yang terbaik dan saya harus berterima kasih kepada pemain, barisan pemain, jurulatih dan pengurusan FAM kerana memberi sokongan,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas berakhirnya perlawanan akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh mengakui, Harimau Malaya sudah mempamerkan peningkatan khususnya sepanjang kempen Piala AFF.

Namun bekas jurulatih Kedah itu tidak mahu semua pemain terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi.

“Sebagai jurulatih kita berpuas hati dengan pencapaian, tetapi tak boleh berpuas hati dengan prestasi pemain kerana kita harap akan melangkah ke tahap lebih tinggi dan tidak boleh hanya layak pentas akhir Piala AFF saja, kita kena pergi ke kelayakan Piala Asia.





“Petanda positif sebelum itu, kita tahu apabila bermain dengan pasukan lebih baik kita sentiasa bertahan, cuma main serangan balas, tetapi kali ini kita nampak pasukan bermain dengan corak menyerang ketika berdepan dengan Thailand, Vietnam.

“Pemain harus percaya jika kita bermain dengan corak itu, suatu hari nanti kita akan menang dengan pasukan ranking lebih baik. Kita kena ke depan, pemain kena konsisten dalam liga tempatan,” kata Cheng Hoe.

Mengikut rekod sejak mengambil alih Harimau Malaya, bekas pengendali Kedah itu mencatat kemenangan sebanyak lapan kali, kalah lima dan seri tiga kali.

Malah, Malaysia juga berjaya memperbaiki kedudukan ranking ke-174 kepada 167 dunia selepas Vingada mengundurkan diri.