Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Sasar Piala Asia, Olimpik, Piala Dunia – Tan Cheng Hoe

HANOI 16 Dis. – Kalah dalam final Piala AFF 2018 bukan penamat buat Harimau Malaya, sebaliknya ia satu permulaan untuk memburu lebih banyak kejayaan.




Pengendali skuad kebangsan, Tan Cheng Hoe menegaskan, melihat prestasi pasukannya sepanjang kempen kejohanan, mereka memiliki masa depan cerah, apatah lagi 80 peratus daripada anak-anak buahnya masih muda.

Layak ke Piala Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia kini menjadi sasaran baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tidak kira sandaran diletak di bahu pemain sedia ada atau bintang-bintang muda lain yang cukup menyerlah dalam skuad bawah 19 dan 23 tahun.

“Kami mengharungi perjalanan yang menakjubkan sepanjang kempen Piala AFF, biarpun ramai tidak meletakkan harapan pasukan ini mampu melangkah jauh.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain dari hari pertama hingga perlawanan akhir.

“Prestasi mereka adalah petanda positif kepada bola sepak negara untuk kembali menjadi gergasi Asia Tenggara, malah Asia suatu hari nanti.

“Selepas ini, kita tidak boleh hanya menyasarkan Piala AFF. Kita perlu layak ke Piala Asia.

“Dengan 80 peratus pemain dalam skuad ini masih muda, saya percaya mereka mampu memberi sumbangan lebih besar selepas ini jika terus konsisten serta mampu meningkatkan tahap permainan,” kata Cheng Hoe.





Jaringan pantas Vietnam menerusi Nguyen Anh Duc seawal minit keenam sudah cukup untuk membantu skuad Naga Emas menjulang Piala AFF buat kali kedua selepas menang secara agregat 3-2.

Daripada 23 pemain yang disenaraikan dalam skuad Piala AFF 2018, hanya empat sudah berusia atas 30 tahun iaitu penjaga gol, Farizal Marlias (32), Norshahrul Idlan Talaha (32) serta pasangan kembar Zaquan Adha dan Aidil Zafuan Abd. Radzak, 31.

Pemain sayap lincah Kedah, Akhyar Rashid, 19 menjadi pemain termuda dalam skuad Cheng Hoe, dan dia beberapa kali diturunkan sebagai gantian sepanjang kempen Piala AFF.

Sementara itu, mengulas mengenai kontraknya sebagai ketua jurulatih yang akan tamat hujung bulan ini, Cheng Hoe, yang mengambil alih skuad kebangsaan pada 7 Disember, 2017 menggantikan Nelo Vingada menyerahkan nasibnya kepada FAM.

“Saya sudah menjalankan tugas sebaik mungkin, apa sahaja keputusan (masa depan) saya, serah kepada pengurusan tertinggi untuk menentukan. Jika khidmat masih diperlukan lagi saya bersedia,” ujarnya.



,