Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Penyokong berjuang 90 minit

Image result for malaysia myanmar penyokongKUALA LUMPUR 29 Nov. – Jika pemain berjuang di atas padang, penyokong Harimau Malaya berjanji akan berjuang dengan cara mereka – bersorak sepanjang 90 minit separuh akhir Piala AFF menentang Thailand berlangsung, Sabtu ini.

Hari ini, 30,000 tiket yang dijual di kaunter Stadium Nasional, Bukit Jalil habis dalam masa beberapa jam, sekali gus menjanjikan kehadiran 80,000 penonton hujung minggu ini.




Rata-rata penyokong yang ditemui Utusan Malaysia bukan sahaja tidak sabar untuk menonton perlawanan itu, malah mahu bersorak serta menyanyi sepanjang saingan bagi menaikkan semangat pemain.

Seorang peminat tegar Harimau Malaya, Mohd. Fauzi Che Ani, 30, berkata, dia tiba di Bukit Jalil seawal pukul 7 pagi kerana tidak mahu terlepas peluang mendapatkan tiket.

Bakal turun buat kali ketiga di gelanggang keramat pasukan Malaysia itu – selepas pertemuan menentang Laos dan Myanmar, Fauzi percaya, semangat semua penyokong sepertinya semakin membara selepas melihat Harimau Malaya membaham Myanmar 3-0 pada 26 November lalu yang mencatat rekod kehadiran penonton 83,777.

“Tiada apa yang saya dan semua rakyat Malaysia harapkan selain melihat pasukan Harimau Malaya kesayangan kami meraih kemenangan ke atas Thailand.

“Kalau boleh, dapat menang dengan jumlah jaringan besar untuk membawa bekalan selesa bagi separuh akhir kedua.

“Kami akan turun ke Bukit Jalil dan bersama-sama berjuang untuk tempoh 90 minit seperti pemain di padang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, hari ini sewaktu membeli tiket untuk rakan-rakannya dari Kedah yang akan turun di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Shukur Ridhwan, 20, yang sanggup datang dari Johor, dan mula beratur untuk membeli tiket sejak 8 pagi menyifatkan keadaan teratur dan tidak perlu bersesak memudahkannya mendapatkan tiket.




“Saya sanggup mengambil cuti hari ini untuk datang membeli tiket dan berharap skuad negara berjaya menewaskan Thailand dan melangkah ke peringkat akhir,” katanya yang bertolak dari Johor Bahru seawal 5 pagi tadi.

Sementara itu, Athirah Anuar, 29, berkata dia tiba awal di lokasi untuk mendapatkan tiket kerana tidak mahu ke­tinggalan memberi sepenuh sokongan terhadap pasukan bola sepak kebangsaan, Sabtu ini.

“Walaupun saya wanita, itu tidak menghalang saya untuk meminati sukan bola sepak dan saya yakin pasukan negara mampu menghadiahkan kemenangan buat seluruh peminat,” kata peniaga berasal dari Shah Alam itu.

Sebelum ini, 40,000 keping tiket habis dijual secara dalam talian, 10,000 dijual dikedai Al-Ikhsan terpilih manakala baki 30,000 dijual di kaunter Stadium Nasional.



, ,