Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pemain kacukan dan naturalisasi bukan tiket Malaysia ke Piala Dunia

Image result for kacukan naturalisasi malaysia lee tuck sumarehKebelakangan ini, seluruh peminat bola sepak Malaysia heboh mengenai hajat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu menggunakan beberapa pemain kacukan dan naturalisasi bagi menguatkan lagi pasukan Harimau Malaya dalam masa terdekat ini.

Idea ini mendapat reaksi meluas daripada kalangan penyokong dengan ada yang menyokong dan ada yang membangkang. Namun bagi yang menyokong, ada yang begitu teruja dan menaruh keyakinan bahawa skuad kebangsaan mampu layak ke Piala Dunia FIFA edisi seterusnya.



Mengulas mengenai perkara tersebut, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan berharap rakyat Malaysia kekal realistik dan perlu memahami bahawa pendekatan yang diambil FAM itu adalah untuk meningkatkan mutu permainan sedia ada.

“Kehadiran mereka (pemain naturalisasi dan kacukan) akan membantu skuad negara. Tapi anda perlu sedar anda tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mereka, pemain tempatan pun kena berusaha memperbaiki permainan.

“Jangan anda ingat dengan kehadiran pemain naturalisasi dan kacukan seperti Lee Tuck serta yang lain kita boleh terus layak ke Piala Dunia. Cuma dengan ada pemain naturalisasi harapan rakyat Malaysia lebih tinggi, jadi KPI (indeks petunjuk prestasi utama) pun kena tinggi,” katanya melalui Berita Harian.

Malah, menurut beliau yang juga ketua jurulatih Selangor, pemain kacukan dan naturalisasi yang direkrut juga perlu diambil kira jumlah dan posisi yang diperlukan. Adalah lebih bagus pemain-pemain ini diambil untuk mengisi posisi yang penting dan gagal disumbangkan oleh pemain tempatan.

“Anda kena fikir juga, berapa orang yang boleh diambil sebagai pemain naturalisasi. Mungkin pemain naturalisasi yang diperlukan juga hanya untuk posisi tertentu, contohnya seorang di bahagian pertahanan, seorang pemain tengah dan seorang penyerang.” tambahnya.

Sebelum ini, FAM telah mengambil pemain sayap Pahang yang berasal dari Gambia, Mohamadou Sumareh untuk menguatkan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018.


Keputusan tersebut jelas memberikan impak yang positif kepada pasukan sehingga Malaysia berjaya mara ke saingan akhir piala dwitahunan 11hb dan 15hb disember lalu.

Justeru, FAM bercadang mengambil beberapa lagi pemain seperti Lee Tuck (Terengganu FC), Liridon Krasniqi (bekas Kedah) dan Guilherme de Paula (Kuala Lumpur) untuk menambahkan taring Harimau Malaya dan bersiap sedia bagi mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang dijangkan bermula pada pertengahan tahun hadapan.

Selain itu, B. Sathianathan turut mengulas lanjut jika Harimau Malaya dipenuhi dengan semua pemain kacukan dan naturalisasi, ia akan menjadikan skuad kebangsaan semakin kuat namun pemain-pemain tersebut tetap perlu mengikut falsafah permainan yang dimahukan Tan Cheng Hoe.

“Kalau semua pemain kacukan sertai Harimau Malaya, sudah pasti pasukan itu makin kuat. Tapi dengan pemain saja tidak cukup kerana mereka mesti terima cara Tan Cheng Hoe (jika dikekalkan sebagai jurulatih Harimau Malaya).

“Jika mereka tidak yakin dengan falsafah, mungkin mereka tidak berjaya. Jadi tidak bermakna dengan memegang status sebagai pemain naturalisasi atau kacukan, mereka terus boleh berada dalam perancangan Cheng Hoe,” katanya.



,