Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Lima perkara daripada pertarungan sengit Malaysia vs Vietnam

Pertarungan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 mengambil tempatnya di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pasukan tuan rumah, Malaysia menerima kunjungan pelawat, Vietnam dengan dihadiri lebih kurang 88,000 penyokong.

Vietnam terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-22 menerusi Nguyen Huy Hung. Namun selang 3 minit kemudian, skuad Naga Emas sekali lagi berjaya menemui belakang jaring hasil rembatan Pham Duc Huy dari luar kotak penalti.



Namun Malaysia tidak mudah mengalah, pada minit ke-36 Malaysia mencetak gol pertama menerusi Shahrul Saad berpunca daripada sepakan sudut. Kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan jaringan 1-2.

Memasuki separuh masa kedua, Malaysia yang tidak mengalah untuk mengejar kedudukan berjaya mendapatkan sepakan percuma. Pemain berjersi nombor 11, Safawi Rasid cemerlang melakukan satu sepakan percuma cantik pada minit ke-60 untuk memberikan gol penyamaan.

Jaringan 2-2 kekal sehingga ke masa penamat. Berikut adalah lima pemerhatian daripada perlawanan Malaysia vs Vietnam:

#1 Melepaskan 2 gol mudah dalam masa 3 minit

Pasukan pelawat, Vietnam pantas mengambil peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol pertama hasil daripada kebobrokan pertahanan Malaysia dihadapan gawang sendiri. Manakala gol kedua daripada pemain tengah, Pham Duc Huy pula disebabkan tiada pemain harimau Malaya yang memberikan tekanan kepadanya. Separuh masa pertama sahaja, Vietnam berjaya mendapatkan 2 jaringan ditempat lawan. Dalam tempoh ini, Malaysia jelas seperti kehilangan punca dalam permainan.

#2 Ketiadaan Syahmi Safari, Aidil Zafuan jelas terasa

Sebelum sepak mula, sudah diketahui Malaysia kehilangan beberapa tonggak utama ekoran kecederaan dan juga digantung perlawanan. Paling terasa adalah kehilangan pertahan tengah, Aidil Zafuan untuk mengetuai barisan pertahanan lawan untuk mengekang asakan lawan dan juga sebagai ‘ball-playing defender’. Beberapa kali Vietnam mudah melepasi pertahanan Malaysia. Manakala ketiadaan kelibat Syahmi menyebabkan bahagian kanan Malaysia kehilangan bisa dengan ‘overlapping’ dan gandingan mantap bersama beliau bersama Mohamadou Sumareh.

#3 Safawi menjaringkan gol pertama beliau dalam kancah Piala AFF Suzuki

Setelah mengharungi 6 perlawanan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018, pemain muda Harimau Malaya ini berjaya meletakkan namanya dalam senarai penjaring pada malam ini. Bertitik mula daripada dikasari pemain lawan berdekatan kotak penalti, pengadil pantas menghadiahkan sepakan percuma kepada Malaysia. Safawi yang diberikan tugas untuk menyudahkan sepakan tersebut cemerlang melakukan satu ‘curling’ cantik menewaskan penjaga gol kacukan Vietnam-Rusia, Dang Van Lam. Beliau juga dinobatkan selaku ‘Man of The Match’ pada malam ini.




Image result for malaysia vs vietnam 2-#4 Bukan persembahan yang terbaik skuad kebangsaan

Persembahan Malaysia pada malam ini bukanlah pada tahap prestasi yang sebenar. Melepaskan 2 gol dalam masa 3 minit selain daripada benteng pertahanan beberapa kali dibolosi. Malah isu kekreatifan dihadapan dihadapan gawang kembali menjadi penyebab Harimau Malaya gagal menjelmakan lebih daripada 2 gol pada malam ini. Banyak yang perlu dimuhasabah oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dan anak buahnya sebelum terbang ke Hanoi untuk perlawanan akhir kedua.

#5 Ini bukan pengakhiran, masih mempunyai 90 minit di Hanoi

Tidak dinafikan, perlawanan amat sengit. Dan tuan rumah, Malaysia sekadar mengikat Vietnam 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kedua-dua pasukan masih mempunyai baki 90 minit sebelum pemenang Piala AFF Suzuki 2018 dinobatkan. Kerugian buat Malaysia dalam aksi ini adalah memberikan 2 gol di tempat lawan kepada Vietnam. Namun, skuad kebangsaan berjaya meraih bekalan 2 gol sebelum aksi di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Sumber Foxsports.com