Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

KFA tidak puas hati keputusan FAM, Mahu heret FAM ke CAS

Image result for kfa famALOR SETAR 27 Dis. – Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menolak rayuan berhubung jumlah pampasan pemain mudanya, Akhyar Rashid.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris mahu membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dengan mengemukakan aduan untuk menuntut keadilan selepas menerima keputusan FAM yang disifatkan tidak adil untuk mereka.




“Kami (KFA) kecewa dengan keputusan FAM yang menolak rayuan kami. Sebagai majikan yang masih memegang kontrak sah Akhyar, kami ada hak ke atas pemain itu dan akan membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan bagi menuntut keadilan.” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

FAM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menolak rayuan KFA untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Akhyar.

Jawatankuasa Rayuan badan induk itu yang bersidang semalam dan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff memutuskan jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Rayuan awal bulan ini, kekal.

“Jumlah RM210,000 itu adalah berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.


“Jumlah RM75,000 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM,” menurut kenyataan FAM itu.

Sebelum ini, KFA menyifatkan isu berkenaan belum selesai dan akan mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Difahamkan, Akhyar masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM itu memuktamadkan segala isu yang timbul dan mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan Akhyar perlu membayar pampasan RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak RM210,000. – UTUSAN



,