Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

KFA Putus Tidak Lagi Guna Khidmat Liridon Krasniqi

Image result for Liridon KrasniqiALOR SETAR – Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memutuskan tidak lagi menggunakan khidmat Liridon Krasniqi bagi memberi peluang kepada muka baharu untuk membarisi pasukan Helang Merah pada musim depan.

Setiausaha Kehormatnya Mohd Asmirul Anuar Aris berkata keputusan itu muktamad kerana selain menjimatkan kos, pasukan Kedah dapat mengetengahkan barisan pemain tempatan yang berkaliber dan setanding dengan pemain import.

“Kita sememangnya tidak menyambung kontrak bersama Liridon dan ia adalah keputusan muktamad, kerana kita melihat daripada keadaan kewangan KFA yang kita tidak mahu pengurusan kos menjadi terlalu tinggi jika mendapatkan khidmat Liridon.




“KFA kini beri fokus kepada pemain tempatan yang boleh bermain dengan baik dan tahap profesionalisme yang tinggi…itu yang lebih penting, ” katanya kepada pemberita pada Program ‘Back To School ‘di sini, semalam.

Kira-kira 280 pelajar sekolah rendah dan menengah yang kurang berkemampuan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan menerima bantuan berupa set pakaian sekolah sebagai persediaan memasuki sesi persekolahan baharu tahun depan.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan meletakkan Liridon dalam senarai sebagai pemain naturalisasi seterusnya dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya.


Namun begitu, terdapat halangan untuk menjadikan Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh kerana tidak dikekalkan oleh Kedah untuk musim hadapan.

Mohd Asmirul yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan berkata buat masa ini terpulang kepada mana-mana pasukan negeri lain untuk menggunakan khidmat Liridon sekali gus membolehkan Liridon menyarung jersi skuad kebangsaan itu.

Sementara itu, Mohd Asmirul berkata keputusan rayuan berhubung jumlah pampasan ditetapkan Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya bernilai RM75,000 bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain muda Kedah, Akhyar Rashid akan diputuskan melalui mesyuarat antara KFA dan FAM hari ini.

Sebelum ini, KFA mengakui masih belum berpuas hati berkaitan isu pelepasan kontrak Akhyar yang diputuskan FAM dan menganggapnya belum selesai. – BERNAMA



, ,