Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Isu Akhyar tak perlu babitkan CAS – FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan isu membabitkan pampasan Akhyar Rashid tidak perlu dibawa sehingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan ia boleh diselesaikan secara dalaman dengan lebih baik menerusi pertemuan ’empat mata’ antara badan induk itu dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).



“Kita terbuka dan sedia berbincang dengan KFA mengenai isu ini. Mungkin wujud salah faham daripada sudut pemahaman mengenai peruntukan dalam urusan perpindahan pemain itu dan kita sedia berbincang dengan KFA.

“Tidak perlu untuk memperbesarkan isu ini kerana selaku badan induk, kami bersedia untuk mencari jalan terbaik bagi menangani apa jua masalah yang membabitkan ahli gabungan,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, KFA mengancam untuk mengheret FAM ke CAS selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk itu menolak rayuan berhubung jumlah pampasan pemain mudanya, Akhyar Rashid.




Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris menyifatkan keputusan FAM itu jelas tidak adil dan pihaknya akan mengemukakan aduan kepada CAS untuk menuntut keadilan.

FAM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam menolak rayuan KFA untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Akhyar.

Malah, Jawatankuasa Rayuan badan induk itu yang bersidang kelmarin dan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff memutuskan jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Rayuan awal bulan ini, kekal.



,