Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Hoki Piala Dunia: Oltmans congak strategi layan Jerman

Image result for Roelant Oltmans malaysia world cupBHUBANESWAR: Jurulatih Malaysia, Roelant Oltmans masih memikirkan strategi terbaik untuk menentang Jerman pada Ahad ini, apabila skuad negara sekurang-kurangnya perlu seri untuk terus kekal dalam saingan Hoki Piala Dunia.

Selepas dibelasah 7-0 kepada Belanda dan seri 1-1 dengan Pakistan, Malaysia perlu menumbangkan Jerman atau seri untuk layak ke pusingan play-off.



Jika Malaysia berjaya berkongsi mata berdepan Jerman, Oltmans dan anak buahnya perlu berharap Belanda dapat menewaskan Pakistan dalam perlawanan seterusnya di peringkat Kumpulan D.

“Jika kami menyerang, bahagian pertahanan kami akan terdedah. Dan jika kami bertahan, peluang Jerman untuk menjaringkan gol agak sukar.

“Jadi, ia hanya akan ditentukan pada perlawanan itu…bila kami perlu menyerang dan bila kami perlu bertahan.

“Setakat apa yang kami tahu, sasaran kami tidak berubah dan kami masih mahu layak ke pusingan seterusnya. Itu bermakna kami perlu mengalahkan atau seri dengan Jerman,” kata Oltmans selepas sesi latihan di Stadium Kalinga, hari ini.

Pada sesi latihan itu, pemain menjalani latihan mengikut cara bagaimana Jerman bermain.

“Latihan ini spesifik mengikut permainan Jerman. Dan sesi latihan ini berjaya dan diharap pemain dapat menterjemahkan dalam perlawanan sebenar,” kata Oltmans.

Jika dinilai berdasarkan keputusan semasa, Jerman sebenarnya lawan paling kuat dalam kumpulan kerana mereja meraih kemenangan selesa 4-1 ke atas Belanda dan ini pastinya mengundang masalah kepada Malaysia.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini saingan Kumpulan D bukan mudah, malah ia paling sukar dalam kempen Piala Dunia ini. Jadi pasti akan ada kejutan berlaku dan kami perlu bekerja keras untuk mengatasi Jerman,” kata Oltmans.




Persembahan hebat Jerman membolehkan mereka mengumpul enam mata, tiga mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Belanda dan kini menjadi pasukan pilihan untuk muncul juara kumpulan sekali gus meraih tiket ke suku akhir.

Keputusan seri atau menang ke atas Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan Ahad ini akan membolehkan Jerman merebut tempat pertama di depan skuad Oranje.

“Ia gila untuk menang 4-1 dengan Belanda, kami tidak menjangkakannya,” kata pemain Jerman, Mats Grambusch.

“Mereka pasukan yang lebih bagus pada suku ketiga dan kami memberikan beberapa pukulan sudut penalti serta membuka ruang menjaringkan gol, tapi mereka gagal kerana pertahanan kami yang baik.

“Kini, kami ada satu lagi perlawanan penting menentang Malaysia dan kami tidak boleh mengambil mudah kerana peluang kami dalam kempen Piala Dunia ini bergantung kepada perlawanan ini,” kata Grambusch.