Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Hoki Piala Dunia: Malaysian Tigers Mampu Aksi Lebih Baik Selepas Ini

Image result for Roelant Oltmans malaysiaKUALA LUMPUR – Selepas dibelasah 0-7 oleh pasukan di ranking keempat dunia, Belanda pada perlawanan pembukaan Kumpulan D Piala Dunia 2018, ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Roelant Oltmans percaya anak buahnya mampu beraksi dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya.




Pengendali dari Belanda itu yang ternyata kecewa dengan persembahan buruk anak buahnya di Stadium Kalinga di Bhubaneswar, India, malam tadi, mahu mereka bangkit apabila menentang pasukan di kedudukan ke-13 dunia, Pakistan pada Rabu ini.

“Mengecewakan…terlalu banyak melakukan kesilapan dalam struktur permainan dan penguasaan bola sehingga menyebabkan pasukan lawan dapat menjaringkan gol yang tidak sepatutnya.

“(tetapi) Perkara positif ialah kita akan berusaha beraksi dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya,” kata jurulatih berusia 64 tahun itu melalui WhatsApp

Pada aksi malam tadi, naib juara edisi 2014 itu mendominasi permainan menentang pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, Malaysia, menyaksikan peledak utama juara Eropah itu, Jeroen Hertzberger menjaringkan hatrik (minit ke-11, 29 dan 60), sekali gus dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan.





Empat lagi gol pasukan Belanda dijaringkan Mirco Pruijser (minit ke-21), Mink van der Weerden (minit ke-35), ​Robbert Kemperman (minit ke-42) dan Thierry Brinkman (minit ke-57​​).

Selepas menentang juara dunia empat kali, Pakistan, skuad Malaysian Tigers yang menduduki ranking ke-12 dunia, akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan berdepan juara dunia dua kali yang juga pasukan di kedudukan keenam dunia, Jerman pada 9 Dis.

Malaysia perlu menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas dalam aksi peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati.

Pencapaian terbaik skuad negara pada Piala Dunia ialah menduduki tempat keempat apabila Malaysia menjadi tuan rumah edisi 1975, sementara dalam edisi lepas pada 2014, berada di kedudukan tercorot dalam kalangan enam pasukan dalam Kumpulan A selepas tumpas dalam kesemua lima perlawanan. – BERNAMA