Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Gaji siling tak realistik – Zaquan Adha

Related imageKUALA LUMPUR: “Hayat pemain bola sepak tak lama, bila sudah berusia atau mengalami kecederaan tentu dah tak laku,” kata kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak yang tidak bersetuju sekiranya harga siling gaji pemain diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jelas penyerang kebangsaan itu, selaku pemain profesional sudah tentu setiap pemain akan mencari tawaran lumayan dan ia perkara biasa dalam dunia bola sepak.





“Main bola sepak ini ada jangka hayatnya. Ia bukan pekerjaan macam cikgu, jurutera, doktor yang akan kekal hingga pencen umur 60 tahun. Tapi bola sepak lain.

“Bila dah masuk umur 30 tahun ke atas, itu dah kira penghujung kerjaya sebagai pemain bola. Itu belum kira jika ada yang mengalami kecederaan teruk dan akhirnya terpaksa gantung but lebih awal.

“Saya tak setuju jika ia dilaksanakan (gaji siling). Lagipun pemain dibayar mengikut prestasi semasa dan jika pemain itu beraksi baik, kenapa tidak boleh menerima bayaran tinggi,” katanya yang meninggalkan pasukan Kuala Lumpur dan menyertai Kedah bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Keghairahan pasukan liga tempatan menawarkan tangga gaji yang cukup tinggi tanpa ada had maksimum menyaksikan banyak pasukan gagal melunaskan gaji pemain hingga ada terpaksa menarik diri berikutan masalah kewangan teruk.

Menerusi laporan Sukan NSTP sejak kelmarin, saingan Liga Malaysia (Liga-M) antara saingan paling lumayan di rantau Asia Tenggara dengan gaji pemain bintang tempatan mampu mencecah hampir RM70,000, manakala bagi pemain muda baharu yang meningkat naik, bermula daripada RM10,000.

Pemain import pula mampu mencecah hingga AS$43,000 (RM180,000) sebulan yang disifatkan cukup tinggi jika dibandingkan dengan Liga Thailand yang lebih rendah sedangkan taraf liga mereka berada pada satu tahap lebih berkualiti dari Liga-M.


Lantas, dengan adanya pengenalan harga siling ia dijangka mampu mengatasi masalah gaji pemain serta dapat mewujudkan persaingan secara sihat tanpa adanya dominasi satu-satu pasukan.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid berkata, biasanya pemain menerima gaji lumayan selepas ditawarkan sendiri oleh pasukan yang mahukan khidmat mereka.

“Sebagai pemain tugas kami hanya bermain bola dan berusaha mencari kemenangan buat pasukan. Hal gaji biarlah pihak pengurusan yang tentukan.

“Pada saya jika seorang pemain itu dibayar gaji yang besar dengan prestasi bagus, rasanya tak timbul masalah. Malah, gaji yang tinggi juga boleh menaikkan motivasi pemain untuk sentiasa beraksi baik dalam setiap perlawanan,” kata tonggak kebangsaan itu yang membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF selepas tewas kepada Vietnam.