Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Anak Pengasas Huawei Ditahan

Image result for Meng Wanzhou, Huawei'VANCOUVER, Kanada – Anak perempuan pengasas gergasi teknologi China, Huawei ditangkap di Kanada dan akan diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS), perkembangan yang menggugat harapan untuk meredakan perang perdagangan AS-China dan menggemparkan pasaran saham global.




Penangkapan mengejutkan Meng Wanzhou yang juga Ketua Pegawai Kewangan Huawei Technologies Co. Ltd. mencetuskan kemarahan Beijing dan membangkitkan kerisauan baharu berhubung gencatan perang perdagangan 90 hari yang dipersetujui Presiden AS, Do­nald Trump dan rakan sejawatnya, Xi Jinping.

Penangkapan itu berkaitan pelanggaran sekatan AS, kata sumber yang arif dengan isu tersebut.

Wanzhou yang juga Timbalan Pengerusi syarikat tersebut dan anak perempuan pengasasnya, Ren Zhengfei ditangkap pada 1 Oktober lalu atas permintaan pihak berkuasa AS.

Seorang jurucakap Ja­batan Keadilan Kanada berkata, Wanzhou akan dihadapkan ke mahkamah hari ini bagi permohonan ikat jamin.




Beberapa sumber memberitahu agensi berita Reuters pada April lepas bahawa Washington sedang melakukan siasatan terhadap Huawei selaku pengeluar peralatan te­lekomunikasi terbesar dunia, sejak sekurang-kurangnya tahun 2016 lagi kerana didakwa mengeksport produk berasal dari AS ke Iran dan negara lain yang melanggar sekatan eksport AS.

Huawei mengesahkan penangkapan itu dalam satu kenyataan dan berkata, pihaknya tiada maklumat terperinci berhubung dakwaan AS dan tidak mengetahui sama ada Wanzhou melakukan sebarang ke­salahan.

Wanita itu ditahan ketika menukar penerbangan di Kanada, kata kenyataan sama.

Sementara itu, kedutaan China di Kanada menyatakan Beijing membantah penangkapan tersebut dan meminta Wanzhou dibebaskan de­ngan segera. – Reuters/Kosmo



,