Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Aidil, Safawi mohon maaf, Sudah berikan yang terbaik

HANOI: “Kami sudah berikan yang terbaik,” itu yang diungkapkan pemain pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak selepas Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, malam Sabtu.

Aidil yang juga tonggak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui kecewa dengan kekalahan itu, namun menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan sejak kejohanan dwi tahunan itu bermula.



“Saya mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong dari awal. Ini lah bola sepak…kami sudah buat yang terbaik untuk perlawanan ini. Siapa sangka pasukan Malaysia yang tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, boleh sampai ke final.

“Pasukan sudah berikan segalanya mungkin rezeki kami hanya menduduki naib johan. Kami minta maaf kerana piala kejuaraan tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia,” katanya selepas perlawanan berkenaan.

Menurut Aidil, jaringan itu ternyata memberi tekanan kepada pasukan sekali gus merencatkan taktikal serta rentak permainan.

“Mungkin gol awal itu buat kita susah nak cari gol penyamaan ataupun usaha untuk mendahului. Ini adalah final, apa-apa sahaja boleh terjadi,” tambahnya.

Safawi Rasid juga meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal membawa pulang trofi Piala AFF Suzuki ke tanah air di mana kali terakhir dimenangi lapan tahun lalu.





“Saya minta maaf kepada semua penyokong Harimau Malaya. Kami sudah cuba lakukan yang terbaik tetapi aksi malam tadi bukan rezeki kami.

“Kalah menang adat pertandingan. Itulah lumrah bola sepak. Terima kasih sekali lagi kepada semua rakyat Malaysia kerana sentiasa menyokong kami,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

“Sudah tentu saya kecewa. Rakyat Malaysia tertunggu-tunggu kepulangan piala tersebut begitu juga saya dan rakan pasukan yang lain termasuk ibu bapa saya,” katanya.

Malahan, Safawi turut mengakui tidak beraksi pada tahap terbaik pada perlawanan penting itu.

“Bagi saya prestasi saya semalam tak berapa bagus. Namun secara keseluruhan, corak permainan pasukan amat baik.

“Peluang banyak cuma nasib tidak bersama pasukan kali ini,” katanya.

Safawi berkata, sekiranya Vietnam tidak menjaringkan gol awal keputusan mungkin sedikit berbeza.

“Gol Vietnam ofsaid. Kalau masa itu keputusan masih 0-0, mungkin pasukan tuan rumah lebih tertekan. Malaysia pula mungkin ada peluang untuk bangkit.

“Namun segalanya sudah berlaku. Walaupun tidak jadi juara kami dapat mara ke final dan menamatkan saingan di tempat kedua. Kami akan cuba lagi pada masa akan datang,” katanya.



, , ,