Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Ahmad Faizal Presiden PAFA

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dipilih sebulat suara sebagai Presiden baharu Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) pada Kongres Luar Biasa (EGM) PAFA di sini, malam tadi.

Beliau menggantikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mengumumkan peletakkan jawatannya.




EGM itu juga sebulat suara memilih Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman sebagai Timbalan Presiden baharu bagi menggantikan Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang turut meletakkan jawatannya sebelum ini.

Sebelum ini, PAFA bagaikan hilang nakhoda selepas Hasnul mengumumkan peletakan jawatannya pada 8 November selepas mencetuskan kemarahan penyokong berikutan caranya mengendalikan trofi Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Perak, 27 Oktober lalu.

Beberapa keping gambar yang dimuat naik Hasnul di media sosial miliknya membuatkan peminat mengandaikan beliau tidak menghormati trofi berprestij itu sehingga dikecam peminat seluruh negara malah dikritik oleh bekas pemain Perak sendiri.

Ahmad Faizal yang ditemui pada sidang media selepas EGM itu turut mengumumkan pelantikan Adly Shah sebagai pengurus pasukan musim hadapan.





Menurutnya, beliau mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk bersama-sama membawa pasukan mencapai kegemilangan pada musim hadapan.

Ditanya mengenai persiapan pasukan, beliau berkata, beberapa perkara akan dimuktamadkan selepas ini dan pihaknya merancang untuk mengadakan Majlis Memperkenalkan Pemain Musim 2019 pada 20 Januari akan datang.

“Majlis itu kita rancang untuk diadakan di lokasi terbuka seperti stadium dan ia akan diadakan secara besar-besaran termasuk dengan konsert sekali.

“Selain itu, kita juga mendapat beberapa tajaan namun sudah membuat keputusan tidak akan meletakkan mana-mana logo syarikat pada jersi pasukan, cuma kita akan letakkan logo Visit Perak dan satu logo lain difikirkan sesuai,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Ahmad Faizal pada EGM itu turut menerima sumbangan cek tajaan kepada PAFA oleh Kl Teh Land and Development Sdn Bhd sebanyak RM1 juta yang disampaikan Pengarah Urusannya, Teh Kok Lim.



,