Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tambang bas ekspres mungkin naik sebanyak 30%

Related imageKUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan kenaikan kadar tambang bas ekspres dalam lingkungan antara 10 sehingga 30 peratus.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus.



“Kenaikan daripada 6.5 sen kepada 8.5 sen sekilometer selain surcaj 0.8 sen sekilometer dikenakan sejak 2015, menjadikan keseluruhan kenaikan adalah 9.3 sen sehingga hari ini.

“Kementerian menimbangkan kenaikan tambang yang munasabah bagi membantu pengusaha bas ekspres tanpa membebankan pengguna.

“Kita akan utarakan syor kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk C Sivarraajh (BN MIC-Cameron Highlands) berhubung kenaikan tambang bas disebabkan kos operasi yang tinggi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Kamarudin berkata, kenaikan kadar tambang dapat membantu meningkatkan mutu perkhidmatan bas ekspres, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

“Gaji pemandu agak rendah, kurang RM3,000 jika dicampur gaji pokok dan elaun.





“Waktu bekerja melebihi lapan jam juga menyebabkan mutu pengendalian bas menurun,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH PKR-Kapar) berhubung langkah kerajaan bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan bas.

Sementara itu, sistem penarafan Malaysia Bus Star Rating (MBSR) akan diperkenalkan tahun depan dan dijangka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keselamatan bas ekspres.

Kamarudin berkata, MBSR merangkumi keseluruhan aspek sistem pengurusan, piawaian keselamatan, mutu pemanduan, tahap perkhidmatan dan tahap kepuasan pelanggan.

“Pengendali perlu mencapai sekurang-kurangnya taraf tiga bintang untuk beroperasi.

“Pada masa sama, hanya pengendali yang menjalankan perkhidmatan sangat baik daripada segi keselamatan, khidmat pelanggan dan operasi akan memperoleh lima bintang,” katanya.