Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pencuri kerusi pulangkan barang dicuri selepas gambar diviralkan

pulangTUMPAT – Suspek yang melarikan kerusi plastik sebuah kedai makan di Wakaf Bharu dekat sini bertindak memulangkan kembali kerusi yang dicuri berserta nota meminta maaf selepas gambarnya yang dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) diviralkan.




Sebanyak 28 biji kerusi bernilai lebih RM300 itu telah diletakkan di sebelah kedai tersebut dengan sehelai nota ringkas bertulis ‘kita dah hantar balik, tolong tarik report dan tarik balik gambar diviralkan, saya mohon maaf banyak-banyak’.

Pemilik kedai makan FA Nasi Air, Ali Senik, 54, berkata, dia menyedari kerusi itu telah dikembalikan kira-kira pukul 8 pagi tadi tidak sampai 24 jam selepas suspek tersebut mencurinya pada semalam.

“Saya terkejut melihat kerusi yang dicuri pagi semalam telah dikembalikan semula selepas gambar dan video suspek diviralkan di laman sosial facebook.

“Gambar suspek telah dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan terus diviralkan agar dapat memberitahu kepada pemilik-pemilik kedai lain supaya berhati-hati dengan kegiatan mencuri itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia lega selepas suspek memulangkan kerusinya kembali dan dia tidak akan mengambil tindakan terhadap suspek berkenaan ekoran dia memulangkan kembali dan meminta maaf.



Kosmo! semalam melaporkan kegiatan curi kerusi plastik di kedai-kedai makan sekitar Kota Bharu dan Tumpat semakin berleluasa sejak tiga hari lalu sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemilik kedai.

Dalam kejadian terbaru, pemilik kedai makan FA Nasi Air di Wakaf Bharu di sini kerugian lebih RM300 apabila sebanyak 28 biji kerusi plastiknya dicuri kira-kira pukul 9 pagi semalam.

Sementara itu, dalam kejadian pada Isnin lalu, satu rakaman video memaparkan gelagat dua lelaki menunggang motosikal sedang mencuri kerusi plastik viral di laman sosial facebook.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Long Yunus, Kota Bharu.

Kejadian sama turut menimpa sebuah kedai makan di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu dekat sini semalam apabila sebanyak 60 kerusi plastik premis tersebut dilarikan suspek. – K! ONLINE